Wednesday, October 17, 2007

:: Buah pinggang


:: Buah pinggang yang rosak diserang barah



RCC, GIST serang lelaki berusia 50 tahun ke atas
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my


Rawatan tipikal sedia ada tidak berkesan untuk tangani, sembuhkan barah buah pinggang, tumor stromal gastro usus. APA perasaan anda selepas menjalani rawatan penyakit kronik, penyakit itu menyerang kembali dan doktor kemudian mengesahkan anda menghidap penyakit yang tidak boleh diubati? Itulah dilema dialami pesara penyelia bangunan, Ismail Abdul Rahman, 69, sejak kali pertama didiagnos kerana diserang barah buah pinggang (RCC) pada 1998.


Pada tahun sama, sebelah buah pinggangnya terpaksa dibuang. Malah, ketika itu juga barah sudah merebak ke kulit, paru-paru dan kelenjar tiroid. "Saya masih ingat, ketika mula-mula ternampak ada biji kecil seperti jerawat tumbuh di dada saya. Saya fikir ia mungkin jerawat biasa dan kemudian memicitnya. "Tiba-tiba jerawat yang saya picit itu mengeluarkan darah tanpa henti," katanya.


Ismail panik, tetapi berjaya ditenangkan isterinya, Umi Kalsom Bakar, 68, yang juga bekas seorang jururawat. Umi Kalsom memang menduga ‘jerawat’ itu bukan masalah biasa sebaliknya barah, tetapi menyembunyikannya daripada pengetahuan suaminya itu. Dari situ segala-galanya bermula. Barah buah pinggang menyebabkan Ismail menerima 75 kali kemoterapi dalam masa enam bulan. Malangnya ia bukan penamat derita. Tahun lalu, imbasan CT scan mendapati ada sel tumor baru tumbuh bukan saja pada satu-satunya buah pinggangnya malah di paru-paru dan tengkuk. "Sukar untuk menggambarkan perasaan saya sebaik saja doktor memaklumkan saya mengalami sakit barah buah pinggang. Lebih menyedihkan apabila saya dapat tahu tiada ubat untuk merawatnya," katanya yang langsung tidak mengetahui mengenai kewujudan RCC.


Sejak itu, Ismail sentiasa berasa sedih, takut dan susah hati. Setiap saat dia teringatkan kematian dan menunggu masa untuk 'pergi' buat selama-lamanya. "Lambat laun kita akan mati, tetapi sukar membayangkan kematian disebabkan penyakit yang tiada ubat. Ia ibarat saya tidak berjuang untuk pulih," katanya. Malah, mungkin kerana kekecewaan itu, Ismail menyambut berita barah buah pinggang yang dialaminya dengan membaca Yassin. Hari-hari yang dilalui pesara penyelia bangunan itu seperti tiada sebarang makna. Dia hanya mengisi jadual harian, menunaikan ibadah dan menjalani kemoterapi. "Saya sentiasa sedih dan murung. Hinggalah saya dirujuk kepada Pakar Onkologi Klinikal, Datuk Dr Mohd Ibrahim Wahid. Saya diletakkan dalam satu kajian klinikal. Sejak itu, saya berasa Allah kabulkan doa saya untuk sembuh," katanya. Ismail adalah seorang daripada puluhan pesakit RCC dan tumor stromal gastro usus (GIST) yang menjalani ujian klinikal untuk menangani penyakitnya itu. "Saya mahu sembuh dan saya tahu ada harapan untuk itu," katanya. Mengenali RCC dan GIST Menjadi tua bukan saja bermaksud anda semakin matang tetapi juga sistem imun tubuh semakin rapuh. Kadangkala, tanpa disangka penyakit kronik menyerang disebabkan pelbagai faktor. Menyalahkan genetik saja tidak betul kerana ada penyakit yang dialami disebabkan gaya hidup individu. Ada juga penyakit yang tidak diketahui puncanya. Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Majlis Onkologi Malaysia, Datuk Dr Mohd Ibrahim Wahid, berkata ada dua penyakit kronik yang menyerang lelaki berusia 50 tahun ke atas iaitu RCC dan GIST. Bagaimanapun, katanya berbanding penyakit kronik lain, kedua-dua penyakit itu tidak berkesan dengan rawatan tipikal sedia ada. Tumor stromal gastro usus (GIST) - tumor membabitkan sel penghubung asas di GIST walaupun dianggap jarang berlaku, ia membabitkan dua peratus daripada keseluruhan kes barah perut. Di Singapura, GIST mencatatkan sekitar 70 kes setiap tahun. Tiada data mengenai GIST di Malaysia, tetapi menggunakan data Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), ada antara 20 hingga 25 kes di setiap hospital berkenaan setiap tahun. "Rawatan GIST yang utama ialah pembedahan. Ia tidak boleh menyembuhkan penyakit. Ada kes, selepas pembedahan barah itu menyerang lagi misalnya selepas dua tahun menjalani pembedahan," katanya. Dr Mohd Ibrahim berkata, GIST sering dikaitkan dengan mutasi gen. Gen yang dikenali sebagai ‘receptor tyrosine kinase’ (KTK) yang menjadi mutan membenarkan sel barah tumbuh secara abnormal. "Sehingga kini terapi barah tradisional hanya memiliki kesan yang sedikit saja terhadap tumor GIST. Rawatan kemoterapi selalunya membantu lima peratus saja kes GIST manakala selebihnya tidak boleh bertahan lebih daripada dua tahun," katanya. Dalam kes ini, katanya, sukar untuk memberikan dos radioterapi yang tepat disebabkan kerosakan organ berdekatan seperti jantung, hati dan paru-paru. "Seperti kebanyakan barah, GIST menyerang golongan berusia yang berusia 50 tahun ke atas," katanya. Masalah yang sama juga berlaku terhadap pesakit barah buah pinggang (RCC). Yang pasti, sukar untuk mengenali RCC pada peringkat awal. Justeru, antara 25 hingga 30 peratus pesakit sudah berada pada tahap akhir barah apabila didiagnos. Ketika itu, barah sudah merebak ke organ lain. "Dalam kes RCC, buah pinggang yang terjejas akan dibuang. Bagaimanapun, sel barah akan tumbuh beberapa lama selepas kemoterapi pada buah pinggang yang tinggal," katanya. Dr Mohd Ibrahim berkata, RCC di Malaysia mencatat 450 kes baru setiap tahun dengan dua pertiga membabitkan lelaki yang berusia 40 tahun ke atas. Dr Mohd Ibrahim berkata, jika RCC dikesan pada peringkat awal dan masih berada dalam buah pinggang, dianggarkan dia mahu bertahan. Bagaimanapun, katanya, sebaliknya terjadi, jika pesakit didiagnos pada peringkat akhir. Walaupun kemoterapi dan radioterapi adalah rawatan untuk barah, mengejutkan RCC kebal pada kedua-duanya.

Faktor risiko RCC dan gejala
Merokok
Obes
Hipertensi
Dialisis yang terlalu lama


Genetik Gejala RCC termasuk : Darah dalam air kencing, sakit belakang, sakit pada sisi yang tidak hilang, sakit atau pembesaran abdomen, kehilangan berat tidak dijangka, tidak berselera makan dan lesu.

Faktor risiko GIST dan gejala.

Tidak banyak diketahui mengenai faktor risiko GIST. Dalam kes yang jarang berlaku, GIST ditemui di kalangan beberapa orang dalam keluarga yang sama. Mereka mewarisi mutasi gen yang membawa kepada GIST. Bagaimanapun, kebanyakan kes GIST tidak bersifat 'sporadic', maksudnya tidak diwariskan kepada generasi demi generasi. Justeru, faktornya masih tidak diketahui. Gejala GIST termasuk; Sakit atau tidak selesa di perut, pening dan muntah, muntah darah atau darah dalam najis, tekanan darah rendah.

Rawatan Pembedahan biasanya menjadi pilihan untuk rawatan RCC. Bagaimanapun, ia hanya untuk RCC peringkat pertama, kedua dan awal peringkat tiga. Seperti barah lain, selain kemoterapi, beberapa jenis ubat menjadi pilihan rawatan. Bagaimanapun, pembedahan tidak menjamin sel barah RCC atau GIST untuk tumbuh semula. Bagi RCC, kemoterapi bertindak balas pada tahap 50 peratus saja manakala sesetengah ubat-ubatan mempunyai kesan sampingan. Baru-baru ini, ada beberapa ubat terbaru di pasaran yang didakwa mampu menangani RCC. Satu daripadanya adalah Sutent keluaran Pfizer. Sutent bertindak menangani RCC dan GIST sebagai terapi oral. Ia adalah ubat berbilang sasaran. Ini bermaksud, ia berfungsi dengan menggunakan dua mekanisme, pertama menghalang pertumbuhan sel tumor dan kedua menghalang pembentukan salur darah yang membekalkan nutrisi kepada tumor.