Saturday, October 13, 2007

:: Penangan mercun

:: seronok2 jugak... dalam usaha berseronok nak menyambut hari raya... macam2 cara kita lakukan... terutamanya kanak2... ada yang bermain meriam buluh... bermain mercun dan bermain bunga api...
:: namun... berhati2lah... dibimbangi keseronokan yang ingin kita dapatkan... tapi kesusahan yang kita perolehi nanti.

Tangan budak nyaris putus main mercun

SUNGAI PETANI 12 Okt.Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa menyambut 1 Syawal esok di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) apabila tangannya hampir putus selepas terkena letupan mercun dalam kejadian di Kampung Singkir Laut, Yan dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Mohd. Hakimi Tajudin yang cedera di bahagian tangan dikejarkan ke Hospital Yan akibat melecur teruk di tapak tangan kanannya.
Bagaimanapun, disebabkan keadaannya yang agak parah, kanak-kanak tersebut terpaksa dipindahkan ke HSAH, di sini kira-kira pukul 2.30 petang.


Ibu mangsa, Rosnani Abdullah, 30, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa dan rakan-rakannya bermain mercun ‘bola’ di halaman rumah.
“Pada mulanya anak saya membaling mercun tersebut tetapi tidak meletup. Dia kemudian cuba mengambilnya semula.
“Tetapi secara tiba-tiba mercun itu meletup dan percikannya terkena pada tangan kanannya,” katanya ketika ditemui di HSAH di sini.
Menurut Rosnani, dia yang menyedari kejadian itu terus bergegas keluar dan mendapati anaknya dalam kesakitan dan sebahagian tangannya luka.


“Saya kemudian bawa anak saya ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan. Disebabkan tangan dia melecur teruk, doktor kemudian terpaksa memindahkannya ke sini (HSAH),” katanya.
Tambahnya, sebelum ini dia sudah melarang anaknya supaya tidak bermain mercun kerana ia berbahaya tetapi mereka tetap berdegil.
“Saya diberitahu oleh doktor bahawa Mohd. Hakimi terpaksa dirawat di sini untuk tempoh dua hingga tiga hari lagi bagi mengelakkan jangkitan kuman,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Hakimi berkata, dia sudah serik dan tidak mahu lagi bermain mercun pada masa akan datang.
“Memang mak ada bagi tahu supaya jangan main, tapi saya tetap degil. Bila kena macam ini, saya tak mau (bermain) lagi,” katanya.
Kata kanak-kanak itu, dia juga kecewa kerana tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di kampung esok.