Saturday, October 13, 2007

:: Duit raya

:: zaman Pak Ngah kecik2 dulu... biasanya dapat 10 sen bagi setiap lawatan atau berziarah ke rumah2... dan jika dapat 20 sen tu... wauuu... dah dikira hebatlah tu... itu zaman dulu le... dan biasanya duit raya tu akan digunakan untuk menonton wayang gambar... dan makan mee rebus dan air sirap... dan biasanya turut beli mercun... dan main "tikam2" di kedai2 berdekatan panggung wayang tersebut... itulah nostalgianya...




Sabtu 13 Oktober 2007 1 Shawwal 1428 Hijrah


Duit raya satu sen, duit ringgit tak pernah nampak - cerita Ustaz Ahmad Awang
Azamin Amin Wed Oct 10, 07 1:02:17 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Hrkh) - Begitulah cerita Naib Presiden PAS Ustaz Ahmad Awang tatkala membicarakan perihal duit raya pada zaman kanak-kanaknya yang jauh berbeza dengan era kini yang ada antaranya memperuntukkan sehingga mencecahkan RM12,000.00 untuk diberikan sempena Aidilfitri ini.

Katanya pada ketika itu, duit raya yang dikumpulkan sehingga mencapai jumlah 20 sen dikira sebagai antara jumlah duit yang banyak di kalangan kanak-kanak dan boleh membeli pelbagai jenis makanan dan minuman.
Katanya, zaman itu tiada kanak-kanak yang memperolehi duit ringgit seperti sekarang.
"Dengan 5 sen boleh beli bihun sebungkus. Kalau 20 sen macam-macam lagilah malah orang ke pasar beli cili besar yang berharga 1 sen sahaja," katanya mengulas perbezaan sempena Hari Raya dahulu dan kini ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Zaman itu, orang ziarah-menziarahi sanak-saudara atau rakan taulan akan membawa kuih muih ketika bertandang dan kemudiannya akan diganti pula dengan kuih lain oleh tuan rumah.Sekarang tidak lagi," katanya.


Kurang baiknya zaman sekarang, 'trend' duit raya ada antaranya bersifat riak' sebagai menunjuk-menunjuk di antara satu sama lain supaya dilihat lebih hebat dari segi jumlah pemberiannya yang wajar dielakkan oleh umat Islam kerana itu merupakan suatu pembaziran yang ditegah agama, katanya.
"Sempena Hari Raya ini saya juga memperuntukkan duit raya untuk kanak-kanak, kalau tidak nanti mereka rasa macam tak raya pula. Namun, yang penting ialah sumbangan duit dan barang keperluan kepada yang memerlukan adalah lebih diutamakan," katanya yang bakal menyampaikan sumbangan PAS dan derma orang ramai kepada 200 fakir miskin dan 50 anak yatim di Perak.


Majlis sumbangan tersebut akan diadakan esok di Dewan Balai Kuliah Tasauf Islam, Simpang Empat Semanggol pada jam 4 petang yang akan disusuli dengan iftar bersama dengan penduduk sekitar, katanya.
Sebagai Pesuruhjaya PAS Perak juga, beliau memaklumkan majlis sambutan Aidilfitri PAS Perak bakal diadakan pada minggu pertama bulan November sebaik selesai majlis di peringkat Pusat.
"Saya mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada semua pemimpin PAS peringkat pusat, ahli-ahli khususnya PAS negeri Perak dan berharap dengan semangat Aidilfitri ini supaya semua meneruskan iltizam serta memperkasakan diri untuk menghadapi masa depan termasuk untuk berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.
"Sambil itu, marilah sama-sama kita bermaafan jika sekiranya ada kesilapan dan keterlanjuran.
"Dan pesanan kepada rakyat Malaysia ialah marilah bersama-sama mendokong perjuangan rakyat dan menuntut keadilan atas cabaran yang berlaku dan kepincangan yang disebabkan oleh pemimpin-pemimpin negara yang rakus dan tamak sehingga mengakibatkan nasib rakyat semakin terbeban dan teraniaya," katanya yang turut merakam ucapan yang sama kepada warga kerja Harakah dan Harakahdaily agar terus mendedahkan kebenaran. - mks.