Thursday, October 11, 2007

:: Beringat2

:: sambungan dari entri " 110: Sedikit maklumat... "... mungkin ada manfaatnya kepada pembaca blog ini... terutamanya adik2 Pak Ngah yang semakin perlu beringat2...
Pesakit diabetes perlu kawal pemakanan, tak tinggal ubat

Pengambilan makanan beraneka jenis ketika meraikan Aidilfitri, kurang perhatian jaga kesihatan boleh undang masalah BULAN puasa penat berlapar, Syawal menjelma bukan bererti individu bebas makan apa saja, khususnya yang menghidap diabetes. Kawalan makanan paling diperlukan selain memastikan pengambilan ubat tidak ditinggalkan dek seronok berhari raya. Diabetes bermaksud kencing manis. Pada masa lampau ahli fizik merasa kencing pesakit sebagai antara proses diagnosis. Diabetes adalah masalah kesihatan yang semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS) yang mana satu pertiga daripada rakyatnya tidak mengetahui mereka menghidapinya.

Hari ini diabetes bukan saja masalah orang dewasa, tetapi juga generasi muda, termasuk kanak-kanak-kanak dikesan menghidap penyakit yang dikaitkan dengan masalah gaya hidup itu. Doktor Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Maslinor Ismail, berkata ledakan jumlah pesakit diabetes pasti berlaku sekiranya penduduk dunia (termasuk kita) mengekalkan gaya hidup moden, tidak menjaga pemakanan, kurang memberi perhatian pada kesihatan dan jarang bersenam. Beliau berkata, di Malaysia jumlah pesakit kencing manis didapati semakin meningkat dan seolah-olah menjadi satu perkara biasa walaupun ia sebenarnya dikategorikan antara penyakit kronik yang tiada penawarnya.


"Segelintir pesakit masih tidak tahu bagaimana menguruskan penyakit mereka menjadikan mereka kadangkala degil dan tidak mahu makan ubat. Dalam bulan puasa ini ada pesakit yang menyatakan penyakit mereka bertambah baik kerana kandungan gula tidak banyak sedangkan hakikatnya ia berkurangan kerana tidak makan. Justeru mengambil ubat adalah perlu dan tiada kompromi terhadapnya," katanya ketika ditemui pada ceramah kesihatan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pada peringkat global dianggarkan 154 juta orang dewasa yang berumur 20 tahun ke atas menghidap diabetes pada 2000 dan dijangka meningkat kepada 300 juta orang menjelang 2025. Peningkatan jumlah pesakit di negara sedang membangun sangat membimbangkan iaitu kadar 170 peratus berbanding 42 peratus di negara maju. Jika dari sekarang kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga, malah memahami bagaimana ia berlaku, kita berisiko untuk masuk ke dalam perangkaan itu. Kebanyakan pesakit diabetes di negara ini juga menghadapi masalah obesiti yang mana ia akan meningkatkan kerintangan terhadap insulin iaitu badan tidak dapat menggunakan insulin untuk 'memproses' gula dalam makanan yang akhirnya boleh menyebabkan individu berkenaan mendapat kencing manis.


Diabetes jika akan berlaku jika seseorang itu mengalami masalah kelenjar pankreas yang tidak menghasilkan cukup insulin. Biasanya, sebelum mendapat kencing manis, pesakit akan mengalami fasa pra-diabetik atau kerintangan glukos terlebih dulu iaitu apabila gula dalam darah tidak dapat digunakan walaupun mempunyai cukup insulin. Bagi menangani masalah ini, kelenjar pankreas akan bekerja lebih kuat untuk menghasilkan insulin sehinggalah ia mengalami kerosakan. Namun dalam kebanyakan kes masalah diabetes tidak menunjukkan sebarang gejala sehinggalah mencapai tahap serius. Dr Maslinor berkata, diabetes tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai komplikasi yang dibahagikan kepada komplikasi akut dan kronik. Komplikasi akut ialah gejala hipoglisemia iaitu paras gula dalam darah yang terlalu rendah, selain koma, manakala komplikasi kronik pula membabitkan kerosakan salur darah (vaskular). Keadaan itu boleh merosakkan salur darah yang halus (mikrovaskular) yang menyebabkan pelbagai masalah seperti buta; neuropati atau kerosakan saraf dan mikroalbuminuria atau kehadiran protein albumin dalam air kencing. Komplikasi makrovaskular pula membabitkan kerosakan salur darah yang besar dan boleh menyebabkan penyakit jantung kronik; strok; penyakit vaskular periferal, gangren iaitu kerosakan atau kematian sebahagian tubuh kerana kekurangan atau tiada bekalan darah. Memandangkan penyakit ini tidak mempunyai penawar, pesakit seharusnya bijak dalam membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya. Fahami secara mendalam apa itu diabetes kerana dengan memahaminya anda boleh mengawal dan memastikan tahap kesihatan terbaik. Tidak salah makan untuk meraikan Aidilfitri, tetapi biarlah berpada-pada kerana kesilapan sedikit mungkin membawa kesengsaraan.

INFO: Pengurusan kencing manis membabitkan


Penjagaan pemakanan - Amalan pemakanan seimbang ialah cara terbaik untuk mengawal paras gula dalam darah termasuklah melebihkan pengambilan sayur-sayuran, usah makan segala benda. Karipap antara makanan paling perlu dielakkan kerana ia menyerap banyak minyak. Bijirin, produk tenusu dan daging putih boleh diambil.


Pengurusan berat badan - Obesiti meningkatkan penghalang insulin dan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kardiovaskular. Bagaimanapun individu yang membawa penyakit dan kehilangan berat badan, akan mendapati tahap glukos dalam darah berkurangan dan pengambilan ubat juga berkurangan.


Bersenam - Pesakit perlu bersenam kerana pergerakan menerusi aktiviti berkenaan berupaya mengeluarkan glukos daripada dalam darah untuk mendapatkan tenaga ketika atau selepas senaman yang mana ia boleh mengurangkan paras glukos. Bersenamlah selama 30 minit, empat hingga lima hari seminggu. Antara aktiviti lain yang turut membantu termasuklah membasuh bilik air setiap hari atau mencuci kereta setiap hujung minggu.


Pengurusan tekanan - Kurangkan tekanan di tempat kerja atau rumah tangga dengan bersenam atau mendekatkan diri dengan Tuhan.


Pengambilan ubat secara teratur - Antara ubat oral digunakan termasuklah sulfonylureas (merangsang sel beta); biguanides (meningkatkan kebolehan insulin untuk pindahkan glokus) dan thiazolidinediones(sel lebih sensitif terhadap insulin).