Monday, October 15, 2007

:: Bersyukurlah

:: Alhamdulillah... kita masih bernafas pada hari ini... dipanjang usia kita... diberikan kesempatan kepada kita untuk meneruskan kehidupan dan penghidupan serta baki usia kita yang tinggal tak seberapa. Syukur alhamdulillah...



:: AIDILFITRI menjenguk kita sekali lagi. Pada suasana berhari raya, kegembiraan dapat bertemu ibu bapa, sanak saudara dan sahabat perlu disertai dengan rasa kesyukuran dan keinsafan. Tidak semua umat Islam berpeluang menyambut kedatangan Syawal dengan aman damai. Malah, ramai di antara saudara Islam kita di negara lain yang tidak dapat merayakan hari kebesaran Aidilfitri ini dengan tenteram. Konflik di Iraq dan Palestin memaksa rakyatnya menderita bergelumang dengan darah dan peperangan yang tiada titik noktahnya. Peperangan sering membawa kepada kesengsaraan kehidupan. Akibatnya ada di antara mereka yang ditindas. Lebih menyedihkan, ada yang dihalang dari menunaikan ibadat kepada Allah swt.

:: Malaysia adalah negara aman makmur walaupun berlaku kes jenayah yang sewajarnya tidak patut dibiarkan berleluasa. Justeru, rakyat terutama umat Islamnya perlu mengambil iktibar dari segala peristiwa sedih dan pedih yang menimpa umat Islam di tempat lain untuk menginsafi tentang diri kita yang serba lemah dan kekurangan diri. Umat Islam negara ini perlu menyambut kedatangan Syawal dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Kedatangan Syawal hendaklah dibuktikan menerusi kemenangan kita selepas menempuh sebulan Ramadan dengan menjadi manusia yang insaf, lebih baik dan berguna bukan saja kepada diri sendiri, malah kepada keluarga dan sahabat, masyarakat dan negara.