Saturday, October 13, 2007

:: Beraya di kampung

:: sesekali balik kampung... terutamanya jika dari bandar... seronok sakanlah jika berkesempatan bermandi manda di sungai... di tali air... di lombong tinggal... di kolam terbiar dll yang jika kurang berhati2... nahaslah yang bakal diundang... tambahan pulak jika tidak berada di dalam pengawasan orang dewasa... walaupun "ajalnya dah sampai"....

:: apa2pun... kesedihan akan terasa bagi keluarga yang terlibat dengan kemalangan ini... sebagaimana paparan di bawah... jadi... berhati2 dan berwaspadalah sebab orang tua2 selalu berkata... "dalam suka biasanya akan ada duka"... wajar diberi perhatian.
Pulang beraya, 3 beradik mati lemas
Oleh OPAT RATTANACHOT

KULIM 12 Okt. – Kegembiraan tiga beradik berumur 8 hingga 12 tahun yang pulang berhari raya di kampung nenek mereka berakhir dengan tragedi apabila mati lemas di kawasan tali air Kampung Ulu Mahang, kira-kira 50 kilometer dari sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Mohd. Safwan Mat Zuki, 12; Mohd. Nasrul, 10, serta Mohd. Hafiz, 8, lemas selepas mandi di kawasan tali air tersebut.
Kejadian berlaku ketika kanak-kanak terbabit dibawa oleh nenek mereka, Siti Aminah Abdullah, 48, untuk mandi kerana bekalan air paip di rumah terputus.


Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Abd. Majid Hashim berkata, kesemua kanak-kanak terbabit dikatakan baru pulang bercuti Hari Raya bersama bapa mereka dari Klang, Selangor semalam.
Beliau berkata, pada pukul 2.25 petang, Siti Aminah dikatakan membawa empat cucunya, Mohd. Safwan, Mohd. Nasrul, Mohd. Hafiz dan Mohd. Fikri, 4, untuk mandi di tali air yang jaraknya kira-kira 500 meter dari rumah.
“Apabila sampai di tali air itu, tiga daripada kanak-kanak terbabit yang dikatakan terlalu gembira dan terus terjun untuk mandi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abd. Majid berkata, selepas terjun, tiga beradik itu didapati tidak muncul semula.
“Nenek mangsa yang memapah Mohd. Fikri beberapa kali cuba memanggil tiga cucunya yang berada dalam tali air tetapi tidak dijawab.
“Melihat sesuatu yang tidak kena, beliau mendapatkan bantuan penduduk kampung mencari cucunya dan melaporkan kepada polis,” katanya.


Mayat tiga kanak-kanak itu dijumpai penduduk kira-kira pukul 3.30 petang.
Sementara itu, Siti Aminah berkata, biasanya tali air ini tidak begitu dalam dan air pada paras lutut tetapi tidak sangka pula hari ini paras air dalam.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Mat Zuki Abd. Majid, 39, berkata, “Sebelum kejadian, tiga anak saya itu begitu ghairah untuk pulang ke kampung.’’
Jenazah mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Mahang selepas solat Isyak pukul 10.30 malam ini.