Sunday, October 07, 2007

:: Kain sendiri

7 Oktober 2007: Ahad
:: Berita Harian... memaparkan artikel ini...
Jaga kain sendiri yang tercarik...

DALAM bab mengutuk, mengata dan memfitnah, tidak kurang 'hebatnya' lelaki berbanding wanita. Ini kenyataan walaupun majoriti lelaki menafikannya dan dengan rela hati memberi 'anugerah tidak berprestij' itu kepada kaum Hawa. Pasti ramai lelaki melenting dalam akur dengan kenyataan ini dan pasti juga ramai kaum Hawa yang bersetuju. Cuba lihat sekeliling, terutama di pejabat, sama 'naik' saja lelaki bila bab mengata orang ini malah ada ketikanya, mereka jauh lebih hebat. Cuma, mungkin ramai juga yang 'buta' tidak dapat melihat hakikat ini kerana cara lelaki 'beroperasi' sedikit berbeza dengan wanita. Kalau wanita, bila mengata dan anti pada seseorang, terserlah di wajah mereka aura kebencian itu, pendek kata macam tertulislah kat dahi, muncung pula, panjang sampai boleh gantung baju.

Lelaki, kebanyakannya bermuka-muka. Manis muka, manis mulut depan orang yang dikata, belakang, Tuhan saja yang tahu betapa lancangnya mulut mereka. Modus operandi beginilah yang sering membuatkan mereka berjaya meloloskan diri, terus-terusan menjadi orang yang boleh dipercayai walaupun hakikatnya mereka ini ibarat duri dalam daging. Dalam banyak perkara juga, lelaki sering 'terlepas'. Lelaki tak berperangai macam itu, tak macam perempuan; lelaki buat tak apa, perempuan tak boleh; lelaki duda, kasihan dia, wanita janda, jahatnya mereka, pasti merekalah punca perceraian. Kasihankan wanita? Lebih malang, yang beranggapan buruk itu pun tak ketinggalan kaum sejenis. Hai, entahlah, apalah nasib wanita. Kalau yang perempuan, cop janda jahat, gatal dan paling tak tahan nak dengar, takut janda menggatal kacau laki dia. Macamlah janda ini jahat dan macamlah laki dia itu laku sangat.

Kalau yang lelaki pula, mulalah jadi miang keladi, kalau dulu setakat memendam dalam hati, berkenan kat orang lain punyai isteri, bila wanita itu dah tidak berlaki, bersendiri, mulalah mereka pasang strategi. Kalau ikhlas nak buat isteri, boleh terima lagi, ini setakat nak menguji, konon-kononnya nak membuktikan benarlah sangkaan ramai janda ini selalunya 'miang nak berlaki'. Hakikatnya, janda atau duda, ada kisahnya tersendiri. Mengapa perkahwinan berakhir dengan perceraian, itu urusan mereka suami isteri. Mereka yang lebih arif, mengapa tidak lagi harus hidup bersama. Sama ada mereka suka tidak beristeri atau bersuami, keruntuhan rumah tangga adalah satu kegagalan. Itu saja sudah cukup membebankan, belum diambil kira pertelingkahan dalam banyak perkara, hak penjagaan anak-anak, harta sepencarian juga kerenah anak-anak yang mungkin memeningkan gara-gara ibu bapa tidak lagi bersama. Tak perlukah kita sebagai orang luar menambah 'rencah' dalam kehidupan mereka. Kalau rencah baik, tak mengapalah, ini selalunya, tambah rencah yang boleh membunuh. Jaga diri sendiri. Jaga keluarga, jaga rumah tangga, jaga anak-anak. Tak salah kalau nak jaga masyarakat, hendak campur urusan orang lain tetapi biarlah bertempat. Jangan sibuk sangat nak jaga tepi kain orang hinggakan tepi kain sendiri tercarik, kita tak sedar.