Friday, October 01, 2010

:: Ketua Menteri Sarawak percaya dapat majoriti selesa...



Taib: BN negeri yakin dapat majoriti selesa

KUCHING 30 Sept. - Barisan Nasional (BN) yakin memperoleh kemenangan selesa pada pilihan raya negeri yang akan datang, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Serentak itu, beliau berkata, semua lapisan rakyat termasuk masyarakat Cina di negeri ini mesti memastikan BN terus menguasai kerajaan agar nasib dan masa depan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

''Saya percaya BN Sarawak akan tetap mendapat majoriti selesa pada pilihan raya negeri yang akan datang dengan syarat semua masyarakat bersama dengan kerajaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian jalan menghubungi Lapangan Terbang Antabangsa Kuching - Stutong dan majlis Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan di Hotel Four Points By Sheraton di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam; Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan dan Penasihat Global Upline Sdn. Bhd., Tan Sri Ting Pek Khiing.

Mengenai sokongan masyarakat Cina di negeri ini terhadap BN pula, beliau berkata, masyarakat itu perlu bersama dengan kerajaan bagi memastikan mereka mempunyai wakil yang akan memastikan suara kaum itu terus didengar dan mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, sokongan mereka juga akan memastikan kaum Cina tidak akan ketinggalan dalam setiap rancangan pembangunan kerajaan sama seperti kaum lain di Sarawak.

Katanya lagi, sebagai rakyat, adalah penting bagi mereka untuk mempunyai suara kerana tanpanya, nilai kewarganegaraan kaum itu semakin berkurangan.

''Saya akan sedih sekiranya pada pembentukan kerajaan yang akan datang, tiada wakil dari kaum Cina yang bersama dengan kita dan saya minta kamu (kaum Cina) bantu saya dengan memastikan dapat turut serta membangun bersama kaum-kaum lain di Sarawak.

''Ini kerana, sewaktu saya mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri dahulu, saya berjanji akan menjadi ketua bukan sahaja untuk Melayu, tetapi Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan India dalam usaha saya membangun negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri memberitahu, masyarakat Cina perlu mengetepikan tanggapan bahawa faktor kekayaan yang mereka miliki adalah mencukupi untuk tidak bersama kerajaan selepas ini.

Jelas beliau, kaum itu perlu mempunyai suara di dalam kerajaan bagi memastikan mereka juga tidak terkecuali daripada menerima pembangunan.

''Bagaimanapun, kaum Cina bebas untuk mengundi dan membuat pilihan kerana negara ini mengamalkan prinsip demokrasi dan saya tidak mempunyai kuasa untuk memujuk dan mempengaruhi keputusan masing-masing.

''Sekiranya anda terus tidak memilih untuk bersama kerajaan, maknanya tidak ada apa yang boleh kita buat (untuk tidak membantu anda lagi)," katanya.