Sunday, October 03, 2010

:: Kisah jeti Pulau Ketam





ketam-boy.jpg


Rasuah di jeti Pulau Ketam belum berakhir
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2010/10/03

8 termasuk pegawai imigresen ditahan bersama RM100,000

KUALA LUMPUR: Walaupun Jabatan Imigresen mengambil tindakan tegas dengan menukarkan 20 pegawai dan kakitangan yang dipercayai terbabit rasuah, namun seorang pegawainya dan tujuh individu lain tetap meneruskan kegiatan itu hingga ditahan malam kelmarin bersama wang tunai RM100,000 disyaki rasuah diterima daripada pendatang asing di Jeti Penumpang Pulau Ketam dan beberapa lokasi lain di sekitar Klang.

Dalam serbuan antara jam 6 petang hingga 8 malam itu, SPRM menemui wang tunai RM30,000 di rumah pegawai imigresen berkenaan manakala RM70,000 lagi di pejabat pengusaha feri di Jeti Penumpang Pulau Ketam.

Sumber berkata, SPRM sudah menjalankan intipan sejak beberapa lama dan mengesyaki pegawai imigresen berusia 27 tahun yang berkhidmat empat tahun lalu itu, menjadi dalang utama sindiket membawa masuk pendatang asing tanpa izin.
“Tujuh individu lain berusia 30 hingga 40 tahun termasuk seorang pengusaha feri dipercayai mempunyai beberapa rekod jenayah rasuah, menjadi orang tengah antara pegawai imigresen itu dan pendatang asing itu,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull mengesahkan perkara itu dan berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Katanya, lapan individu itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam sebelum ditahan reman selama lima hari.

Berita Harian pada 27 Ogos lalu dalam laporan eksklusifnya mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Mengikut laporan itu, setiap penguat kuasa di percayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan.

Susulan pembongkaran kegiatan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman menukarkan 20 anggota dan pegawainya di Pelabuhan Klang ke beberapa cawangan negeri kerana disyaki terbabit rasuah dan salah guna kuasa hingga boleh menggugat keselamatan negara.

Sementara itu, sumber itu berkata, kegiatan lapan orang itu dikesan apabila pendatang tanpa izin yang memulakan perjalanan keluar atau masuk ke negara ini dikehendaki memberi sejumlah wang suapan “duit gerenti” kepada kapten kapal.

“Sebaik tiba di pelabuhan, kapten berkenaan akan menyerahkan sebahagian wang kepada pegawai imigresen dan selebihnya kepada orang tengah yang dikatakan mampu mencecah ribuan ringgit setiap bulan.

“Selepas membayar duit gerenti, pendatang tanpa izin itu akan diberikan tiket perjalanan pergi dan balik selain terdapat tanda tertentu di tiketnya menandakan sudah membayar duit gerenti,” katanya.