Thursday, October 28, 2010

:: Dato' Dr. Rosli Mohamed..KSU-KPM baru




Media Statements


28/10/2010 - Pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran

Saya ingin memaklumkan pelantikan Y.Bhg. Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelajaran, P.T.D. Gred Utama A sebagai Ketua Setiausaha, Kementerian Pelajaran, P.T.D. Gred Utama Turus III mulai 29 Oktober 2010 bagi menggantikan Y.Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Haji Awang yang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai tarikh yang sama.

2. Y.Bhg. Dato’ Dr. Rosli, 52 tahun, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pemasaran Strategik dari University of Hull; Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Leeds, United Kingdom; dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia. Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 3 Januari 1983 dan berpengalaman dalam bidang pengurusan ekonomi dan perancangan pembangunan menerusi karier perkhidmatannya sebagai:

• Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelajaran mulai 24 Mei 2010;

• Pengarah, Seksyen Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (2010);

• Pengarah, Seksyen Tenaga, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (2007-2010);

• Pengarah, Seksyen Penilaian, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (2006-2007);

• Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Tenaga, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (1998-2006);

• Penolong Setiausaha, Bahagian Kemajuan Perindustrian Perhutanan dan Kayu Kayan, Kementerian Perusahaan Utama (1993-1995);

• Penolong Pengarah, Bahagian Perjawatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (1992-1993);

• Pegawai Projek Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (1991-1992);

• Penolong Setiausaha, Bahagian Perhubungan Antarabangsa dan Logam, Kementerian Perusahaan Utama (1988-1991); dan

• Penolong Pengarah, Bahagian Perindustrian, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (1983-1988).

3. Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta kompetensi yang dimiliki oleh Y.Bhg. Dato’ Dr. Rosli akan membolehkan beliau mengetuai dan mengembelingkan semua penjawat awam di Kementerian Pelajaran khususnya para pendidik dalam menyediakan keperluan sistem pendidikan yang terbaik serta memenuhi matlamat pendidikan negara.










( TAN SRI SIDEK HASSAN )
Ketua Setiausaha Negara

28 Oktober 2010