Buku teks sekolah dihantar Disember
Posted on October 5, 2010, Tuesday
IPOH: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam memberi jaminan kesemua buku teks bagi sesi persekolahan 2011, termasuk cetakan baru mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, akan dihantar ke semua sekolah selewat-lewatnya Disember ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata pihaknya kini dalam proses mencetak kumpulan terakhir buku teks yang melibatkan buku Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani bagi kegunaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
“Kesemua buku-buku yang sedang dicetak ini adalah buku yang menggunakan sukatan pelajaran baru… buku-buku lain telahpun siap dicetak, dan ada di antaranya telahpun dihantar ke sekolah untuk kegunaan penggal pertama 2011.
“Kesemua (buku teks) yang dihantar tersebut adalah jumlah yang telah dipesan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir pelancaran Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini.
Beliau juga meminta JPN mengeluarkan pesanan baru secepat mungkin sekiranya terdapat pertambahan murid, atau kesilapan semasa membuat pesanan bagi membolehkan DBP membuat penghantaran sebelum hujung tahun.
Termuzi berkata bagi mengelak kekurangan buku teks di sekolah, DBP telah mengambil inisiatif membuat cetakan lebih antara tiga hingga lima peratus bagi setiap pesanan yang dibuat.
“Bagi memastikan buku-buku ini siap lebih awal, pihak DBP telah mengambil inisiatif mempercepatkan proses cetakan…sebagai contoh, buku yang diberi masa selama lapan bulan, telahpun siap dicetak dan kini telahpun berada di sekolah.
“Dalam keadaan biasa, semua tempahan cetakan akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan, dan kita hanya diperuntukkan selama lapan bulan,” katanya.
Beliau berkata semua buku Sains dan Matematik baru itu dicetak berdasarkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
Katanya, DBP menerima tempahan lebih 6.4 juta naskhah buku baru bagi kedua-dua mata pelajaran, dan sebahagian besar telahpun siap dicetak.— Bernama