Wednesday, October 13, 2010

:: KSU-KPM jadi Pengerusi SPP

Media Statements





07/10/2010 - Pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran

Adalah dimaklumkan bahawa Y.Bhg. Dato’ Haji Kusaini bin Haji Hasbullah akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) pada 28 Oktober 2010. Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.Bhg. Dato’ Haji Kusaini di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada Kerajaan dan negara, terutama di sepanjang tempoh Y.Bhg. Dato’ Haji Kusaini memegang jawatan sebagai Pengerusi SPP selama 3 tahun mulai 29 Oktober 2007.

2. Sehubungan dengan ini, adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (2) Perkara 141A Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan pelantikan Y.Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Haji Awang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran sebagai Pengerusi SPP untuk tempoh 3 tahun mulai tarikh beliau mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia sebagai Pengerusi SPP.

3. Bagi membolehkan Y.Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain memegang jawatan sebagai Pengerusi SPP mulai 29 Oktober 2010, berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008, kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran yang sepatutnya tamat pada 28 Disember 2010 telah dipendekkan kepada 28 Oktober 2010.

4. Dengan pelantikan ini, saya bagi pihak Kerajaan, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan percaya bahawa Y.Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain akan dapat menjalankan tugas, kewajipan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi SPP mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna.





( TAN SRI SIDEK HASSAN )
Ketua Setiausaha Negara

7 Oktober 2010