Tuesday, October 12, 2010

:: GSTT...Alor Star, Kedah




Surat

GSTT kesal ditamat perkhidmatan


2010/10/11

SAYA adalah seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang sudah berkhidmat di Alor Setar, Kedah hampir dua tahun dan akan ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 16 Oktober ini. Semua GSTT di seluruh Kedah sudah mendapat notis ditamatkan perkhidmatan antara 16 dan 30 Oktober ini.

GSTT bukan saja diberi tanggungjawab mengajar pelbagai subjek, kami juga diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di sekolah seperti guru tingkatan kelas peperiksaan, setiausaha panitia, guru pentaksir, guru penasihat untuk kelab dan persatuan, AJK pelbagai program yang dijalankan di sekolah dan sebagainya.

Ada juga GSTT yang diberi tanggungjawab lebih besar seperti mengajar kelas terbabit dengan peperiksaan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kami juga terbabit dengan pelbagai program perkhemahan, program di luar sekolah serta pernah menjadi ketua untuk mengendalikan sukan sekolah ke peringkat daerah. Ada juga GSTT yang sudah berkhidmat sehingga tiga dan lima tahun, namun akhirnya kontrak mereka ditamatkan.

Jadi bagaimanakah nasib kami untuk meneruskan kehidupan?. Kami sudah menghabiskan umur kami dengan menjadi GSTT.

Pelbagai usaha dilakukan GSTT di negara ini untuk mendapat jawatan guru tetap seperti memilih program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) atau Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), namun masih tidak mendapat tempat.

Saya juga ada menyertakan surat sokongan daripada pengetua ketika memohon KPLI dan DPLI dan markah yang diberi hasil daripada pencerapan adalah melebihi 85 peratus iaitu mendapat A dalam proses menyampaikan pembelajaran dan pengajaran.
Jika pihak pengurusan memberikan markah melebihi 80 peratus ke atas, sudah semestinya GSTT terbabit berkebolehan mengajar. Adakah GSTT yang mempunyai pengalaman mengajar dua dan tiga tahun tidak layak mengikuti KPLI atau DPLI?

Walaupun GSTT tidak mempunyai sijil perguruan, GSTT sentiasa belajar untuk menjadi guru terbaik. Kami juga mempraktikkan set induksi sebelum mengajar seperti guru lain yang mempunyai sijil perguruan. Hal yang membezakan GSTT dengan guru tetap hanyalah sijil perguruan.

Kami mohon jasa baik Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran supaya mempermudahkan serta mengutamakan permohonan GSTT untuk mengikuti KPLI atau DPLI.

Rata-rata pelatih KPLI dan DPLI yang mendapat tempat kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman mengajar langsung. Jadi saya amat berharap GSTT diberi keutamaan mengikuti program KPLI dan DPLI.

Selain itu, saya juga amat berharap Menteri Pelajaran memberi peluang kepada GSTT untuk mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) bersesuaian dengan langkah kerajaan yang ingin berjimat-cermat. Saya amat berharap cadangan ini dipertimbangkan.

GSTT KECEWA,
Alor Setar, Kedah.

(Berita Harian online: Selasa - 12.11.2010)