Saturday, October 30, 2010

:: Guru: OUM dan kenaikan pangkat ?



Surat

OUM tidak ada kaitan kenaikan pangkat guru


2010/10/30

MERUJUK surat 'Guru DGA29' dari Kuala Lumpur yang disiarkan dalam ruangan ini pada 21 Oktober lalu, pihak Open University Malaysia (OUM) mengucapkan terima kasih atas keprihatinan beliau terhadap kursus pengajian yang ditawarkan oleh OUM.

Untuk makluman, OUM ada menawarkan beberapa kursus pengajian peringkat ijazah khusus untuk guru melalui kerjasama antara OUM dengan Kementerian Pelajaran. Permohonan kemasukan ke kursus pengajian ini dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), mengikut syarat kemasukan yang ditetapkan.

Secara amnya, OUM menawarkan kursus pengajian kepada sesiapa saja yang memenuhi syarat kelayakan. Bagaimanapun, bagi guru yang masih dalam perkhidmatan, mereka dikehendaki mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.
Mengenai urusan kenaikan pangkat pula, ia adalah di luar bidang kuasa pihak OUM. Bagaimanapun, guru yang menamatkan pengajian di OUM boleh membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Diharapkan penjelasan ini dapat memberikan maklumat yang diperlukan oleh Guru DGA29 dalam membuat pertimbangan untuk menyambung pengajian.

Jika Guru DGA29 memerlukan maklumat lanjut, sila berhubung dengan Pendaftar OUM melalui e-mel (kamariah@oum.edu.my). Segala kerjasama dan sokongan yang diberikan amatlah kami hargai dan sanjung tinggi.

DATIN TEH RAQAMAH ABDULLAH, Pengarah Unit Perhubungan Korporat OUM.





...............................................................................................


Guru ingin maklumat pengajian

2010/10/21

SAYA seorang guru gred DGA29 yang sedang berkhidmat di sebuah sekolah kerajaan. Saya ingin mengetahui bagaimanakah caranya saya boleh melanjutkan pelajaran untuk mengambil ijazah pertama.

Kita sedia maklum yang kebanyakan universiti tempatan menawarkan peluang untuk menyambung belajar secara sepenuh masa dan separa masa.

Saya berhasrat melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) tetapi pegawai yang bertanggungjawab memberitahu bahawa saya tidak layak untuk mengikuti kursus itu kerana saya seorang guru.

Beliau menyatakan saya boleh menyambung pelajaran di OUM tetapi tidak dijamin kenaikan pangkat sedangkan ramai guru yang melanjutkan pelajaran di OUM sudah pun mendapat kenaikan pangkat.

Universiti manakah diiktiraf oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) jika saya melanjutkan pelajaran secara separa masa?

GURU DGA29,
Kuala Lumpur.