Friday, October 01, 2010

:: Nak jadi guru ?





Graduan UNISEL terkilan gagal mohon guru


2010/10/01

SAYA mewakili siswazah Sarjana Muda Pendidikan Teaching English As A Second Language (TESL) sesi 2010 daripada Universiti Industri Selangor (UNISEL) ingin meluahkan rasa dukacita dengan Bahagian Pengambilan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) IPTA, Kementerian Pelajaran.

Permohonan GSST menerusi talian. Kami hampa apabila mendapati nama UNISEL tidak tersenarai dalam senarai IPT permohonan GSST pada Jun lalu, sedangkan pada pengambilan GSST awal Mac 2010, nama UNISEL tersenarai dalam talian.

Ini bermakna graduan Sarjana Muda Pendidikan TESL UNISEL tidak berpeluang memohon GSST Kementerian Pelajaran. Keadaan menjadi bertambah teruk kerana permohonan GSST secara talian pada September lalu juga tidak menyenaraikan nama UNISEL.

Kami sekali lagi terlepas peluang memohon GSST walaupun program Sarjana Muda Pendidikan TESL UNISEL diakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

LULUSAN UNISEL KECEWA,
Kedah.




........................................................................................................................................


Pahang kurang 200 guru tauliah




ABDUL Aziz Abdul Latiff (dua kanan) menyampaikan surat penempatan kepada Nurul Afzan Abdullah Zawawi pada majlis taklimat dan orientasi penempatan GSTT ke Sekolah-Sekolah Menengah Harian Pahang di Temerloh, semalam.

TEMERLOH 30 Sept. - Jabatan Pelajaran Pahang berhadapan dengan masalah kekurangan 200 guru bertauliah di sekolah menengah bagi menggantikan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negeri tahun ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, daripada jumlah itu, seramai 114 guru bertauliah diperlukan bagi mengajar Bahasa Inggeris.

Menurutnya, walaupun pihaknya baru sahaja menambah seramai 202 guru bertauliah yang mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), jumlah yang mengajar subjek itu masih tidak mencukupi.

''Kita perlu lebih 200 guru untuk ditempatkan di semua sekolah menengah di Pahang bagi menggantikan GSTT ini. Tambahan 200 guru lagi akan dilaksanakan November ini.

''Bagi Bahasa Inggeris pula, ia menjadi antara subjek paling sedikit diambil dalam kursus perguruan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan orientasi penempatan GSTT ke Sekolah-Sekolah Menengah Harian Pahang di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd. Nadzri Ab Wahab.

Pada majlis itu, seramai 202 GSTT hadir sebelum mereka dihantar dan ditempatkan bertugas di seluruh daerah.

Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, subjek Pengajian Am menjadi pilihan tertinggi apabila seramai 37 GSTT memilihnya.

''Subjek-subjek lain termasuk Sejarah, Geografi dan Bahasa Arab," jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz meminta guru-guru baru berkenaan supaya memberi komitmen yang tinggi walaupun ditempatkan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Apa yang paling penting tegasnya, ialah sumbangan yang tidak ternilai dalam usaha melahirkan modal insan berwibawa kepada negara.

''Kita mahu guru-guru baru ini mempunyai semangat yang berterusan dalam usaha memberi pendidikan kepada anak bangsa mereka sendiri," katanya.