Friday, October 29, 2010

:: Surat: Graduan pendidikan resah



Surat (Berita Harian)

Graduan pendidikan resah belum terima berita penempatan mengajar



2010/10/29


TERLEBIH dulu diucapkan tahniah kepada semua graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan fakulti pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain di seluruh negara yang berjaya menamatkan pengajian pada Mei lalu.


Bertambah kegembiraan ini apabila semakan keputusan temu duga jawatan Guru Sandaran Terlatih (GST) baru-baru ini, memberikan jawapan positif. Begitu juga pengumuman Jun lalu, iaitu graduan pendidikan diserapkan ke jawatan tetap tanpa melalui jawatan sandaran.

Namun dalam kegembiraan merasai pakaian konvokesyen menaiki pentas menerima ‘tauliah’ mengajar, ada sesuatu yang tidak dapat meredakan kegusaran fikiran graduan pendidikan, iaitu penempatan di sekolah untuk memulakan tugas dalam bidang pendidikan.
Graduan lepasan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) yang mengadakan konvokesyen sama dengan kami sudah pun sebulan berada di sekolah.

Jika sebelum ini penempatan graduan pendidikan pada hujung tahun berakhirnya pengajian, iaitu pada Oktober, namun tahun ini tidak ada ‘ura-ura’ perkara sama akan berlaku.

Kegusaran kami bertambah apabila ada desas-desus mengatakan Kementerian Pelajaran akan menyerap Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) ke jawatan tetap di sekolah melalui prosedur yang akan dibincangkan.

Ia sedikit sebanyak menjejaskan peluang penempatan kami kerana ijazah yang dimiliki hanya melayakkan kami berkhidmat di institusi pendidikan seperti sekolah dan bukan dalam sektor lain.
Justeru, saya berharap agar isu ini mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Pelajaran selaku ‘majikan tunggal’ untuk meredakan seterusnya menghilangkan kegusaran ini.

Penat lelah kami belajar dalam jurusan pendidikan selama empat tahun lantaran minat yang tinggi hanya akan terbayar apabila penempatan kami diumumkan secepat mungkin sebagai mana pada tahun lalu.

Bersama-samalah kita meningkatkan profesionalisme keguruan yang menjadi tunjang kepada bidang pendidikan negara.

BAKAL GURU SAINS,
Kota Bharu, Kelantan.