Tuesday, October 26, 2010

:: Laporan Ketua Audit Negara 2009



10 kementerian, 4 jabatan capai tahap cemerlang dalam pengurusan kewangan 2009: Audit Negara


2010/10/25

KUALA LUMPUR: 10 kementerian dan empat jabatan mencapai tahap cemerlang dalam prestasi pengurusan kewangan pada 2009 dengan memperolehi 90 markah ke atas berbanding dengan hanya empat kementerian dan dua jabatan pada tahun sebelumnya.

Laporan Ketua Audit Negara 2009, yang dikeluarkan hari ini, berkata kementerian yang dinilai cemerlang ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Kementerian lain ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Jabatan yang mendapat markah cemerlang pula ialah Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Sementara itu, 15 kementerian dinilai sebagai baik dalam prestasi pengurusan kewangan pada 2009 dengan memperoleh markah antara 80 dan 89, manakala 36 jabatan/agensi memperoleh antara 70 dan 89 markah.

Tiga jabatan memperoleh tahap memuaskan dalam pengurusan kewangan dengan markah antara 60 dan 70 bagi tahun 2009.

Pada keseluruhannya, prestasi pengurusan kewangan di peringkat kementerian dan jabatan bagi 2009 bertambah baik berbanding 2008, kata laporan itu.

Semakan Audit selanjutnya terhadap 25 kementerian mendapati secara umumnya, tiga daripada enam kawalan utama berada pada tahap cemerlang iaitu Kawalan Pengurusan, Perbelanjaan dan Terimaan manakala Kawalan Bajet, Pengurusan dan Akaun Amanah/ Kumpulan Wang Amanah dan Deposit serta Pengurusan Aset dan Stor didapati pada tahap baik.

Bagi 44 Jabatan pula, lima kawalan utama kecuali Pengurusan Aset dan Stor mendapat tahap baik. Pengurusan Aset dan Stor hanya mencapai tahap memuaskan.

Laporan Audit itu turut mengesyorkan beberapa cadangan untuk memantapkan lagi prestasi pengurusan kewangan termasuk Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan mengambil tindakan "corrective dan preventive" (membetulkan dan mencegah) terhadap kelemahan yang dibangkitkan Jabatan Audit Negara dan mempertingkatkan penglibatan pegawai pengawal dan ketua jabatan secara "hands-on" dalam perkara ini.

Ia juga mengesyorkan tindakan surcaj atau tatatertib dikenakan terhadap mereka yang gagal memungut hasil atau membuat bayaran yang tidak teratur. - BERNAMA