Sunday, December 23, 2007

:: BPR siasat


NASIONAL : Berita Minggu - 23 Disember 2007

Rakaman video: BPR jumpa Dr Mahathir

PUTRAJAYA:
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi keterangan kepada pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung siasatan kes rakaman video mengandungi imej seorang yang dikatakan peguam sedang berbual menerusi telefon mengenai pelantikan hakim. Dr Mahathir berkata, tiga pegawai BPR datang menemuinya di sini, kelmarin dan menyoal siasat beliau berhubung kes rakaman video itu. "BPR menemuramah saya dan bertanya soalan dan saya menjawab soalan mereka," katanya selepas melancarkan buku Negara Dunia Ketiga dan Undang-Undang Antarabangsa karya Tunku Datuk Dr Sofeah Jiwa di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini, semalam.

Difahamkan, BPR mengambil keterangan dari Dr Mahathir di pejabatnya di YKP, di sini. Dr Mahathir berkata, beliau menghabiskan kira-kira sejam menjawab soalan daripada tiga pegawai BPR terbabit. "Kira-kira sejam (tempoh beri keterangan). Soalan apa (yang ditanya), saya tidak boleh beritahu kamu," katanya.

Ditanya apakah beliau bersedia memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kesahihan video didakwa perbualan telefon seorang peguam dengan hakim kanan mengenai pelantikan hakim di negara ini, Dr Mahathir berkata: "Jika saya diperlukan untuk memberi keterangan (pada Suruhanjaya Diraja), jika undang-undang menetapkan saya perlu memberi keterangan, saya tidak boleh berkata tidak."
Rabu lalu, akhbar tempatan melaporkan, siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung rakaman klip video mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam dengan hakim kanan yang dikatakan mengatur pelantikan hakim, akan diadakan secara terbuka selama dua minggu mulai 14 Januari depan. Pengerusinya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor, berkata suruhanjaya itu bersetuju membenarkan orang ramai dan media mengikuti prosiding di sebuah mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur sehingga 25 Januari.

Ditanya sama ada Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil memberi keterangan, Haidar dilaporkan berkata, ia bergantung kepada Timbalan Kanan Pendakwa Raya BPR, Datuk Nordin Hassan dan dari Jabatan Peguam negara, Datuk Azmi Ariffin kerana mereka yang akan merangka senarai saksi berdasarkan keterangan yang diberikan kepada BPR sebelum ini. Mengulas tindakan kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, beliau juga menguatkuasakan ISA kerana rakyat menyokong akta itu.