Semasa Perkahwinan
Nikah
(A) Persediaan
Persediaan bagi mengadakan majlis perkahwinan biasanya mengambil masa yang lama... termasuk persediaan menempah kad jemputan, mencari mak andam dan sebagainya. Bagi majlis perkahwinan, mak andam adalah antara orang yang penting dalam menghias pengantin dan persediaan pelamin.
Dalam masyarakat Melayu Sarawak, upacara yang melibatkan agama adalah acara akad nikah, sementara yang bukan bersifat agama adalah acara bersanding, tepung tawar, berlulut dan makan nasi temuan.
Bergendang adalah acara keraian secara beramai-ramai yang mengambil masa selama tujuh hari tujuh malam... yang masih diamalkan terutama di kawasan pesisir. Majlis akad nikah biasanya diadakan sehari sebelum bersanding... namun kini menampakkan trenda disekalikan pada hari kenduri kahwin... sebagai menyimpulkan ikatan sah antara pasangan tersebut sebagai suami isteri.
(B) Jenis-jenis nikah
Nikah benar:
Perkahwinan yang mengikut lunas-lunas Islam atau mengikut adat seperti merisik dan bertunang dan ianya direstui oleh kedua-dua belah pihak.
Nikah salah:
Berlaku apabila pasangan didapati berkelakuan sumbang dan mereka akan dipaksa untuk berkahwin. Upacara perkahwinan akan dijalankan dengan ringkas dan sederhana.
Nyerah diri:
Berlaku apabila lelaki menyerah diri kepada keluarga pihak perempuan kerana tidak mempunyai wang untuk menanggung perbelanjaan perkahwinan... yang biasanya melibatkan perempuan dari golongan berada dan lelaki yang tidak berkemampuan. Mereka akan dinikahkan secara sederhana dan perbuatan ini akan dilihat sebagai memalukan pihak keluarga perempuan.
Ngekot (mengikut):
Berlaku apabila perempuan menyerah diri kepada keluarga lelaki dan mereka akan dikahwinkan... bukan kerana masalah kewangan tetapi kerana keluarga pihak perempuan tidak merestui atau menerima pilihan anaknya.