Majlis Perkahwinan/Persandingan
Ketika di malam hari... iaitu sehari sebelum berlangsungnya majlis persandingan... upacara menepung tawar (berlulut) pengantin perempuan diadakan. Upacara berlulut ini juga adakalanya akan diikuti dengan "upacara berpacar" (berinai) serta dimeriahkan lagi dengan acara pencak silat... gendang Melayu dan "andai-andai atau tandak". Pengantin juga akan dimandikan oleh mak andam dalam acara "mandi perantan" yang diakhiri dengan berwudhu’.
Sebelum majlis persandingan diadakan... pengantin perempuan akan didandan dan dihias oleh mak andam yang dipilih untuk kelihatan cantik dan berseri. Pengantin dilarang melihat cermin semasa sedang diandam kononnya dikhuatiri akan hilang seri pengantin... dan antara pakaian persandingan pengantin perempuan yang biasanya dipakai adalah kebaya songket, gaun pengantin yang diperbuat daripada kain sutera bertekat benang emas dan Gajah Holen (mahkota)... iaitu pakaian tradisional Melayu Sarawak. Pengantin lelaki pula biasanya akan mengenakan persalinan seperti seorang pahlawan atau pakaian haji (jubah putih atau hitam dan serban).
Sebelum rombongan lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan... pihak pengantin perempuan akan menghantar tikar mengkuang (tikar ngambik pengantin) yang dibalut dengan "tudung keringkam" yang disulam dengan benang emas ke rumah pengantin lelaki. Penghantaran tikar mengkuang ini menandakan bahawa pihak perempuan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan dari pihak lelaki. Acara ini sesuai dilaksanakan bagi jarak rumah yang berdekatan... iaitu sekampung... namun hingga kini... PakNgah belum pernah melihat pelaksanaannya.
Pengantin lelaki akan diarak dengan menggunakan kereta atau jong yang akan dimulai dengan membaca selawat sebanyak tiga kali dan diikuti dengan paluan hadrah . Setibanya di rumah pengantin perempuan, mereka akan disambut dengan acara pencak silat (silat kapak) sebagai pembuka pintu. Acara ini juga telah diubahsuaikan mengikut arus pemodenan.
Pengantin lelaki akan dibawa masuk ke rumah dan didudukkan di samping pengantin perempuan yang sedia menanti di atas pelamin yang telah dihias indah. Semasa majlis persandingan... upacara "berjembak" dijalankan di mana pengantin lelaki akan menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jarinya dan jejambak (tuala kecil yang wangi dan dilipat berbentuk bunga)... semacam adat membatalkan air sembahyang... diikuti bacaan doa selamat dan selawat untuk kedua-dua mempelai. Tepung tawar kadangkala dilakukan dengan iringan paluan hadrah... dan pengantin kemudiannya melakukan upacara turun naik tangga sebanyak tujuh kali.
Pada sebelah petang atau malamnya... makan "nasi temuan" diadakan... bagi membiasakan pengantin dengan kehidupan berkeluarga dan sekaligus untuk menghilangkan rasa malu. Majlis makan nasi temuan ini dilakukan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.