Berita Harian: 19 Disember 2007
Guru DG29 dakwa diketepikan peluang naik pangkat
SAYA ingin menarik perhatian kementerian Pelajaran mengenai nasib sebilangan guru senior yang sudah lama mengajar tetapi tidak dipedulikan. Semua syarat yang ditetapkan tidak memihak kepada guru DG29 yang terpaksa bertungkus-lumus mendapatkan segulung ijazah sama ada secara sepenuh masa, separuh masa mahupun secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ). Cadangan pengisian jawatan guru Tingkatan Enam (Akademik) Gred DG44 ternyata amat mudah bagi guru lain, namun bagi kami semuanya tidak bermakna. Walhal, sebilangan guru DG29 yang kini memegang DG41 lama mengajar di Tingkatan Enam di sesetengah sekolah terutama di Sarawak yang kekurangan guru berijazah. Masalah ini timbul kerana kelewatan menerima surat pelantikan dan surat pengesahan jawatan. Misalnya, ada sebilangan kami yang tamat pengajian ijazah pertama pada 2004 tetapi hanya dilantik ke jawatan Pegawai Pendidikan Siswazah pada 2006 dan sebaliknya.
Pada masa yang sama kami ditugaskan mengajar Tingkatan Enam Bawah dan Tingkatan Enam Atas walaupun masih berada di Gred DG29. Lantaran itu, kami meminta kepada Kementerian Pelajaran dan pihak terbabit agar memandang dan menimbangkan nasib kami. Sebilangan daripada kami bukan saja memiliki ijazah pertama, malah berkelulusan sarjana dan ada sesetengahnya mendapat PhD.
GURU TERPINGGIR, Sibu, Sarawak.