Baginda Sultan tiba di Moscow
Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar Infofoto
| |
| |
| |
Berangkat sama dalam lawatan rasmi Baginda Sultan ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar.
Yang turut berangkat bersama rombongan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.
Juga berangkat dalam lawatan itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Muta-Wakillah Hayatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim serta kerabat diraja yang lain.
Yang hadir menjunjung keberangkatan tiba Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain ialah Timbalan Menteri Luar Russia Alexey N. Borodavkin serta pegawai Kedutaan Brunei ke Rusia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan hari ini, lawatan itu adalah yang kedua oleh Baginda Sultan kle negara itu sejak kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 1991.
Keberangkatan Baginda Sultan ke Moscow adalah bagi mengeratkan hubungan kerjasama antara kedua-dua negara sehubungan dengan jemputan Presiden Dmitry Medvedev yang kemudiannya mengadakan perjumpaan dengan beberapa pembesar Russia di majlis santap tengah hari, tambah kenyataan.
Sementara itu agensi berita AFP melaporkan antara tempat yang dilawati Baginda Sultan termasuk kilang barangan kemas di Moscow dan juga membuat perjumpaan dengan pegawai daripada pengeksport senjata api, Rosoboronexport serta perkhidmatan Kerjasama Teknikal Ketenteraan.
Baginda sultan dijadualkan berkenan meninjau pembuatan helikopter Russia di sebuah pangkalan di Moscow sebelum dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vladimir Putin pada 16 Oktober ini.