Friday, October 9th, 2009 |
Serangan BENDERA hanya khabar angin
KUCHING: Ancaman Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang dilaporkan akan ‘menyerang dan menakluk’ beberapa bandar di Borneo, merangkumi Kuching dan Tawau, Sabah semalam (8 Oktober) merupakan khabar angin dan bukannya realiti, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Dato Mohmad Salleh.Menurutnya, setakat jam 9.30 pagi semalam, pihaknya tidak ada mengesan sebarang individu yang berkaitan dengan ancaman tersebut yang masuk ke Sarawak melalui sempadan Kalimantan Barat.
“Setakat ini, kita belum mengesan sebarang individu yang berkaitan masuk ke Sarawak…ini merupakan khabar angin dan bukannya reality seperti mana yang kita dengar sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di IPK Sarawak di sini, semalam.
Bagaimanapun , katanya , pihaknya tidak memandang ringan perkara itu dan akan terus meningkatkan tahap keselamatan dengan menambah keanggotaan di sempadan dan pintu-pintu sempadan yang sah.
Malah, katanya, pihaknya turut menjalankan operasi sekatan jalan raya di kawasan yang berhampiran dengan sempadan, selain membuat pemantauan di pusat pekerjaan warga Indonesia seperti di kilang atau tapak binaan, bagi mengelakkan mereka terlibat dalam tindakan tersebut.
“Kekuatan keanggotaan yang kita tingkatkan ini adalah dua kali ganda daripada yang sebelumnya bagi mengawal dan memantau kemasukan warga Indonesia,” katanya.
Di samping itu, katanya, pihaknya juga menyediakan Pasukan Tindakan kontinjen Sarawak di pintu-pintu sempadan bagi menghadapi kemungkinan ancaman tersebut.
Katanya, sasaran operasi ialah di pintu-pintu sempadan yang sah seperti Tebedu, Bunan Gega (Serian) dan Serikin, di mana kawalan ketat akan diteruskan sehingga keadaan kembali reda dan selamat.
Berhubung keselamatan kemasukan rakyat Malaysia ke Indonesia, Mohmad berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat dari Konsulat Malaysia di Kalimantan.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang maklumat tentang rakyat Malaysia yang masuk ke Kalimantan Barat, Pontianak atau mana-mana tempat…dan juga tidak ada individu yang dikesan telah ditangkap, diculik atau sebagainya.
“Malah, kita juga tidak meghalang kemasukan rakyat Malaysia ke Indonesia atau rakyat Indonesia ke Malaysia dan Sarawak amnya,” ujarnya.
Cuma, katanya, kemasukan rakyat Indonesia ke Malaysia akan diperketatkan pemeriksaannya.
Justeru, Mohmad memohon kerjasama daripada penduduk tempatan, khususnya yang tinggal berhampiran sempadan untuk segera menghubungi polis sekiranya terkesan atau terdengar mana-mana individu dan kumpulan yang luar biasa memasuki kawasan mereka.