PETALING JAYA: Perbincangan antara Malaysia dan Indonesia berhubung isu pembantu rumah masih sedang berlangsung dengan tiada persetujuan konklusif dicapai sehingga ini.
"Ada beberapa isu yang perlu diambil kira sebelum perbincangan dapat diselesaikan," Ketua Pengarah Jabatan Buruh Datuk Ismail Abdul Rahim hari ini.
Indonesia ketika ini menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sementara menunggu hasil perbincangan menyeluruh dari segi gaji dan keadaan kerja.
Beliau berkata perkara pokok yang menjadi tumpuan Malaysia dalam perbincangan itu adalah berkaitan proses pengambilan pembantu rumah Indonesia memandangkan 'masalah eksploitasi yang dialami pembantu rumah ini didapati berpunca daripada proses pengambilan'.
"Pengambilan yang tidak teratur serta cara pengambilan yang tidak diselaras yang dilaksanakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai ejen berdaftar yang beroperasi di Malaysia atau negara sumber, sering menjadi dalang yang menyumbang kepada kesengsaraan yang dialami pembantu rumah ini.
"Dalam banyak kes ejen itu sendiri terbabit dalam aktiviti eksploitasi ini," katanya.
Merujuk kepada isu berkaitan gaji, Ismail berkata pendirian Malaysia adalah ia tidak dapat ditetapkan dan ia seharusnya bergantung kepada perjanjian antara pekerja dan majikan.
"Amat sukar untuk menetapkan gaji pekerja sektor ini, kerana gaji pekerja di lainlain sektor juga perlu diambil kira sebagai pertimbangan," katanya.
Gaji pembantu rumah ketika ini adalah antara RM400 dan RM650, bergantung kepada pengalaman, dan juga perjanjian bersama antara pembantu rumah itu dengan majikan.
Sementara itu Ismail berkata Malaysia sedang menimbang untuk mengambil pembantu asing Muslim dari negara Kemboja, Filipina, dan Thailand. Beliau berkata ini bukan sahaja akan membolehkan majikan membuat pilihan, malah ia dapat mengurangkan penggantungan mereka kepada negara pembekal, seperti Indonesia.
Menurutnya ketika ini terdapat 251,255 pembantu asing berdaftar di Malaysia, di mana 230,141 darinya adalah dari Indonesia.
Terdahulu semasa menyampaikan taklimat dalam satu perbincangan bertajuk 'Strategies to Support Proposed International Standard for Domestic Workers', Ismail berkata adalah menjadi dasar Malaysia untuk membekalkan perlindungan yang sama rata bagi pekerja tempatan mahupun asing.
Ismail berkata pekerja asing mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan menerusi sistem mahkamah perusahaan, di samping berhak untuk memiliki kontrak perkhidmatan.
Dalam perkembangan berkaitan Ismail berkata Kementerian Sumber Manusia akan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menangani masalah pembantu rumah mengenai gaji yang disimpan oleh majikan atau disimpan di bank atas nama majikan.
Pindaan akan turut menyediakan hukuman yang lebih berat buat majikan yang melakukan kesalahan terhadap pekerja, di samping melindungi pekerja daripada gangguan seksual. BERNAMA