Tuesday, October 20, 2009

:: T.S.Ambrin Buang: Kelemahan Tadbir Urus

Kelemahan Tadbir Urus Korporat Perlu Ditangani, Kata Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Kelemahan tadbir urus korporat mestilah diatasi dengan segera, termasuk yang berkaitan dengan kualiti lembaga pengarah dan pasukan pengurusan.

Dalam hubungan ini, mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) amat penting, kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

"Melalui kerja-kerja audit kami, kami dapati beberapa syarikat memerlukan tadbir urus korporat tetapi nampaknya tiada kawalan dalaman manakala audit dalaman dan jawatankuasa audit tidak berkesan, malah tidak wujud," katanya.

Ambrin berkata apa yang menyedihkan ialah prestasi lemah syarikat dari segi keuntungan, ketidakupayaan membayar dividen dan kebergantungan berterusan kepada pinjaman dan pendahuluan daripada kerajaan.

"Kadang kala, pinjaman perlu ditukar menjadi ekuiti bagi memastikan kelangsungannya, dan dengan demikian ia lebih merupakan liabiliti daripada aset," katanya dalam ucaptamanya pada Persidangan ACIIA 2009 anjuran Institut Juraudit Dalaman.

Ambrin berkata audit dalaman dan juga luar boleh dan harus memainkan peranan penting dalam meningkatkan tadbir urus korporat serta menggalakkan budaya ketelusan.

Tadbir urus yang baik, katanya, mestilah wujud bukan sahaja dalam korporat atau sektor swasta, malah juga dalam sektor awam dan masyarakat awam, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Bagi sektor-sektor ini juga, kedua-dua audit luar dan dalaman boleh dan mesti memainkan peranan penting," katanya.

Menurut Ambrin, tadbir urus yang baik dalam sektor awam boleh dilihat dari beberapa sudut, seperti penggunaan kuasa di pelbagai peringkat kerajaan yang "berkesan, jujur, saksama, telus dan bertanggungjawab".

"Satu lagi definisi adalah berkaitan proses perumusan dan pelaksanaan dasar melalui pembinaan konsensus di kalangan sektor-sektor berkenaan, dengan matlamat menambah baik kualiti kehidupan semua warga negara pada keseluruhannya," tegas beliau.

-- BERNAMA