Saturday, August 28, 2010

:: Empangan Bakun ditawar RM6 - 8 bilion ?



Sarawak beli Bakun?




KM tidak tolak kemungkinan k’jaan negeri ambil alih pemilikan

TAIB

TAIB

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri akan mengambil alih pemilikan ke atas Empangan Hidroelektrik Bakun, yang kini hampir siap.

Ini mungkin bermakna kerajaan negeri akan mengambil langkah seterusnya untuk membeli empangan itu, bukan sekadar menyewanya seperti yang diumumkan tahun lepas.

“Kami (kerajaan) sedang mengkaji sama ada kami dapat membeli Bakun atau tidak.

“Kami sedang berunding dengan kerajaan persekutuan sama ada ingin menjual semula (Bakun),” katanya kepada pemberita di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Taib terdahulu mempengerusikan mesyuarat bulanan kabinet yang diikuti dengan taklimat mengenai Bakun oleh Sarawak Energy Berhad.

Sumber berita dalam internet melaporkan kerajaan negeri ingin membeli empangan itu pada harga RM6 bilion tetapi kerajaan persekutuan telah memberi tawaran harga RM8 bilion.

Empangan Bakun yang menjalani pembinaan selama 16 tahun dijangka siap pada Disember ini.

Dimiliki kerajaan persekutuan menerusi Sarawak Hidro di bawah Kementerian Kewangan, hidro itu mampu menjana tenaga sebanyak 2,400 megawatt.

Laporan media pada 12 Disember tahun lepas menyatakan kerajaan negeri sedang merangka perjanjian untuk menyewa empangan Bakun daripada kerajaan persekutuan.

Turut dilaporkan bahawa semua kuasa daripada empangan itu akan disalurkan di Sarawak bagi memenuhi keperluan industri khususnya bagi kawasan Koridor.

Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), berikutan perjanjian yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Taib semalam tidak mahu mengulas mengenai rundingan tarif yang sedang dijalankan bagi bekalan elektrik yang dijana oleh Bakun.

“Saya tidak ada komen setakat ini… kami tidak menghuraikan rundingan dalam akhbar, semua anda tahu perkara ini,” katanya.

Pengarah Urusan Sarawak Hidro Zulkifle Othman yang dipetik dalam Malaysiakini berkata, syarikat tersebut mensasarkan hujung tahun ini untuk memeterai perjanjian pembelian tenaga dengan Sarawak Energy.

Beliau turut dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri perlu membuat pengubahsuaian kepada sistem pengangkutan sungai sekarang sebelum empangan dibanjiri (impoundment) kerana ia boleh menjejaskan aliran sungai dan paras air Batang Rajang.

Beliau menafikan perjanjian itu telah menangguhkan pembanjiran empangan, dengan kos yang telah meningkat daripada kos awal RM2.4 bilion semasa ia diumumkan pada 1986 kepada lebih RM7 bilion apabila siap Disember akan datang.

“Jika kami diberi lampu hijau, kami menjangkakan bulan Oktober untuk memulakan pembanjiran, tertakluk kepada paras air sungai,” katanya dipetik sebagai berkata.