Wednesday, August 25, 2010

:: Ketua Menteri Sarawak sedia berundur ?



Taib sedia berundur




KM akan letak jawatan jika rakyat S’wak mahu beliau berbuat demikian

TAJAAN: Taib menyerahkan biasiswa kepada salah seorang pelajar tajaan ARB yang mengikuti Program Khas Pengajian Ulum Islamiah dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah di pejabatnya di Menara Pelita, Kuching semalam.

TAJAAN: Taib menyerahkan biasiswa kepada salah seorang pelajar tajaan ARB yang mengikuti Program Khas Pengajian Ulum Islamiah dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah di pejabatnya di Menara Pelita, Kuching semalam.


KUCHING: Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud memberitahu beliau sedia berundur jika itu yang dimahukan oleh rakyat.

Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, berkata beliau pernah menyuarakan hasrat yang sama pada tahun 2006 tetapi hasratnya itu terpaksa dilupakan kerana rakyat masih mahu beliau memimpin negeri ini.

“Saya pernah menyatakan hasrat sama pada 2006, tetapi mereka (rakyat) tidak membenarkan saya berbuat demikian… apa boleh buat.

“Jika rakyat tidak memerlukan saya dan jika saya tidak diperlukan…saya akan berundur,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Taib yang kini berusia 74 tahun, merupakan Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak 26 Mac, 1981.

Terdahulu beliau menerima zakat berjumlah RM10,000 bagi pihak Baitulmal daripada Amanah Raya Berhad (ARB) dan menyerahkan biasiswa kepada pelajar tajaan ARB yang mengikuti Program Khas Pengajian Ulum Islamiah dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah di pejabatnya di Menara Pelita, dekat sini.

Tiga pelajar menerima tajaan ARB iaitu Mohammad Zubair Mustafa, 18 dan Faliq Asraf Jafri, 18 dan Nadira Hamapei, 18.

Mereka merupakan kumpulan pertama dari Sarawak yang ditaja ARB melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.

Ditanya mengenai persiapan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang, Taib yang juga presiden parti itu berkata beberapa muka baru bakal ditampilkan. Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sebenar muka baru yang akan diserapkan kelak.

“Saya tidak tahu lagi tetapi PBB sentiasa memperkenalkan muka baru, dengan kirakira 20 peratus perubahan tetapi ada kalanya ramai dan ada kalanya sedikit.

“Perubahan perlu kerana kita perlukan kumpulan yang mempunyai pengalaman serta kepakaran dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pilihan raya negeri lalu (2006) PBB memang di kesemua 35 kerusi yang dipertandingkan. Mengenai bila beliau kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri, Ketua Menteri berkata perkara itu masih belum diputuskan lagi.