Showing posts with label ekonomi. Show all posts
Showing posts with label ekonomi. Show all posts

Saturday, October 22, 2011

:: Pembantu rumah Indonesia...pembekuan ditarik balik ?


Amah Indonesia kembali ke Malaysia 1 Disember



NAJIB bersalaman dengan Susilo selepas sidang akhbar bersama pada majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia kali ke-8 di Mataram, Indonesia semalam.


MATARAM (Lombok) – Pembantu rumah Indonesia dibenarkan dihantar semula ke Malaysia mulai 1 Disember ini, sekali gus menamatkan moratorium lebih dua tahun untuk penghantaran tenaga kerja sektor informal ke Malaysia.

Keputusan mengenai perkara itu diumumkan pada sidang akhbar bersama oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada akhir mesyuarat delegasi dua hala acara Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di sini semalam.

“Kita ketahui banyak saudara Indonesia yang bekerja di Malaysia. Oleh itu, kita sepakat memberi perlindungan dan bantuan sebaiknya kepada tenaga kerja Indonesia.

“Kita juga telah bersepakat bahawa dengan diadakan perubahan tentang pengambilan dan penempatan tenaga kerja Indonesia yang ditandatangani pada 2006, mendatangkan perubahan positif kepada Indonesia. Insya-Allah pada 1 Disember kita akan menormalisasikan hal ini,” kata Susilo ketika mengumumkan hasil pertemuan itu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Berikutan itu, kedua-dua negara telah berunding sehingga satu kata sepakat dicapai dengan menandatangani protokol meminda beberapa peruntukan dalam memorandum persefahaman 2006 itu, yang diadakan di Bandung pada 30 Mei lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm



Thursday, July 07, 2011

:: Empangan Bakun... mula beroperasi hari ini ?



Ujian Kebolehpercayaan Empangan Bakun hari ini

Posted on July 6, 2011, Wednesday

Pemantauan akan dilakukan berhati-hati bagi mengelak sebarang kesilapan: Zulkiflie

PANDANGAN UDARA: Ujian pertama Empangan Bakun bermula hari ini sebelum operasi sebenar untuk langkah komersialisasi pada 6 Ogos depan.

KUCHING: ‘Ujian kebolehupayaan’ Empangan Hidro Elektrik Bakun (Empangan Bakun) akan diadakan hari ini (6 Julai) sebelum tenaga elektrik empangan itu dikormersial pada 6 Ogos ini, kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Hidro Sdn Bhd, Zulkiflie Osman.

Beliau menambah ‘ujian kebolehupayaan’ adalah fasa terakhir pelbagai ujian percubaan sebelum langkah komersialisasi dapat dilaksanakan dalam tempoh sebulan lagi.

“Jika semuanya berjalan dengan lancar, kita boleh menjangkakan tenaga dari Empangan Bakun akan dipindahkan ke sistem grid SESCo selepas ‘ujian kebolehupayaan’ ini dilaksanakan, iaitu 6 Ogos nanti,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Infrastruktur Asia yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.

Zulkiflie menambah, beliau bersama 20 pakar tempatan dan enam dari negeri luar kini sedang memantau keadaan di empangan berkenaan sebelum turbin pertama dijangka menjana tenaga awal bulan depan.

“Semuanya perlu dilakukan dan dipantau dengan penuh berhati-hati kerana sebarang kesilapan boleh menyebabkan halangan besar yang mesti dielakkan daripada berlaku,” tegasnya tanpa menjelaskan lanjut ‘halangan besar’ itu.

Tenaga yang dihasilkan daripada Empangan Bakun itu kelak akan disalurkan ke projek-projek jimat tenaga di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Salah satu projek gergasi yang akan dilaksanakan di SCORE ialah industri melebur aluminium, pulpa dan kertas serta pengeluaran kepingan gelas.

Zulkifle, menambah Empangan Bakun mempunyai lapan turbin bersaiz besar dan mampu mengeluarkan 2,400 megawatt (MW) sebaik ia beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Sementara itu, Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika menyampaikan ucapan penggulungnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berkata kerajaan negeri menerusi SEB berjaya mendapat hak pemilikan ke atas Empangan Bakun daripada kerajaan pusat menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 30 tahun pada 1 Jun 2011.

Menerusi PPA itu ujarnya SEB menjual tenaga elektrik dari Empangan Bakun pada 6.25 sen per kilowatt dengan peningkatan tahunan sebanyak 1.5 peratus.

Taib yang juga Menteri Pengurusan dan Perancangan Sumber berkata Empangan Bakun yang bernilai RM7.2 bilion adalah langkah penting dalam pembangunan SCORE.


http://www.theborneopost.com/2011/07/06/ujian-kebolehupayaan-empangan-bakun-hari-ini/


Sunday, June 12, 2011

:: RM400 sekilogram sahaja... harga telur terubuk masin di Sarawak





Telur terubuk masin RM400 sekilogram
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2011/06/12




IBRAHIM membersihkan telur ikan terubuk yang dijemur sebelum  dijual  di Pasar Satok.
IBRAHIM membersihkan telur ikan terubuk
yang dijemur sebelum dijual di Pasar Satok.


‘Caviar hitam Sarawak’ emas di dalam ikan

KUCHING: Ia mungkin tidak semewah ‘caviar hitam’ dari Laut Caspian yang berasal daripada telur ikan beluga, namun telur ikan terubuk masin Sarawak tetap 'mewah' sehingga ada pihak menggelarnya ‘emas di dalam ikan’.
Masakan tidak, dengan harga ikan telur terubuk masin mencecah hingga RM400 sekilogram, pembeli boleh memilih membeli cincin emas atau menikmati kelazatan telur yang digoreng garing sehingga kuning keemasan.

Walaupun ada menganggapnya tidak masuk akal, telur ikan terubuk masin mendapat permintaan tinggi ramai penggemarnya yang mengakui ‘ketagih’ selepas merasa keenakan rasa lemak dan lembut telur ikan itu.

Bagaimanapun tanpa disedari orang ramai, telur ikan terubuk sebenarnya diperoleh peniaga dari bekalan ikan yang dibeli pukal daripada pembekal sebelum dijual secara berasingan dari ikan terubuk masin yang harganya serendah RM10 bagi empat ekor.

Ikan terubuk itu bukan diperoleh dari kawasan perairan negeri ini, sebaliknya diimport pemborong yang membawanya masuk dari Myanmar, Vietnam atau India, berikutan bekalan ikan tempatan tidak mampu menampung permintaan yang semakin tinggi.

Pengasas ikan terubuk masin, Ibrahim Mohd Sahari, 50, berkata harga telur ikan yang terlalu tinggi tidak dapat dielak kerana menampung peningkatan kos bekalan ikan terubuk yang mencecah antara RM150 hingga RM400 sekotak. Ibrahim memulakan perniagaan pada 1989 berkata, bekalan ikan terubuk gred A cuma RM35 bagi 62 ekor dengan berat antara 800 gram hingga satu kilogram, tetapi kini mencecah RM400.

“Ketika mula berniaga, saya menjual ikan terubuk masin gred A RM15 seekor. Menjelang 1991, saya menjual sehingga lima kotak atau 300 ikan setiap hari dengan bekalan dibawa dari Thailand.

“Berikutan permintaan terlalu tinggi, beberapa pekerja saya kemudian membuka perniagaan sendiri di sekitar Pasar Satok dengan jumlah peniaga ikan terubuk masin meningkat kepada 10 gerai pada 1997,” katanya yang berpengalaman selama 22 tahun memproses ikan berkenaan.

Bagaimanapun akibat krisis ekonomi, ikan terubuk dari Thailand menjadi terlalu mahal sehingga memaksa peniaga tempatan beralih kepada bekalan dari Myanmar menyebabkan ikan terubuk mula digred mengikut saiz.

Sementara itu, tinjauan Berita Minggu di Sadong Jaya mendapati harga telur ikan terubuk tempatan sekitar RM280 bagi setiap kilogram berikutan musim menangkap ikan terubuk yang bermula Januari hingga Jun.




penghasilan dan penjualan ikan terubuk masin
tertumpu di bawah pintu utama pasar tamu DBKU ini

ikan digaramkan...
terhasillah ikan terubuk masin...
bukannya ikan terubuk kering


kebanyakan ikan terubuk adalah diimport
dari Thailand... India dan Myanmar... lalu dimasinkan



murah atau mahal...
bergantung pada saiz ikan masin tersebut
dan setakat mana anda mampu menawar harganya


boleh mencuba sendiri...
telur dikeluarkan dari ikan terubuk dijadikan telur terubuk masin
ikan... masaklah apa2 yang patut...

cuba... jangan tak cuba...


Tuesday, May 31, 2011

:: Gawai Dayak dan Tadao Kaamatan...disambut dengan kenaikan tarif elektrik




Kenaikan Tarif Elektrik 7 Peratus Berkuat Kuasa Rabu

75 Peratus Pengguna Domestik Tak Terjejas

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan tarif elektrik yang baru dengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen/kilowatt-jam (kWj) berkuat kuasa 1 Jun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, bagaimanapun kenaikan itu tidak akan menjejaskan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang.

"Ini bermakna, 75 peratus atau 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak mengalami kenaikan bil elektrik bulanan selagi mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Selain itu Chin berkata, kerajaan juga memberikan bekalan elektrik percuma kepada pengguna berpendapatan rendah yang menggunakan elektrik berjumlah RRM20 dan ke bawah sehingga 31 Disember tahun ini.

"Kerajaan dijangka akan menanggung kos sebanyak RM122 juta setahun bagi membiayai bekalan elektrik percuma kepada 900,000 pengguna di Semenanjung," katanya.

Menurut beliau lagi, selaras dengan dasar kerajaan untuk melindungi kebajikan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah, jumlah 'lifeline band' untuk pengguna domestik akan dikekalkan pada 200kWj sebulan pada kadar unit 21.8sen/kWj.

"Oleh itu tiada kenaikan tarif untuk pengguna 'lifeline band' yang terdiri daripada 3.3 juta pengguna atau 55.4 peratus daripada pengguna domestik," katanya.

Jelas beliau, semakan tarif elektrik ini akan membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempertingkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur pembekalan elektrik yang lebih baik termasuk pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan.

"TNB dijangka melabur sebanyak RM4.5 bilion setiap tahun untuk menyediakan dan menaik taraf sistem infrastruktur bekalan elektrik.

"Sesuai dengan semakan tarif asas ini, pihak kerajaan meluluskan pakej penstrukturan tarif yang perlu dilaksanakan oleh TNB seperti menaikkan kadar diskaun di luar waktu puncak bagi 'Thermal Energy Storage (TES) daripada 1.5 sen/kWj kepada 3.5 sen/kWj," katanya.

Kata Chin lagi, TNB perlu memberi diskaun sebanyak 10 peratus daripada kadar tarif biasa kepada institusi pendidikan yang dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan seperti yang diberikan kepada rumah ibadat, institusi kebajikan dan institusi pendidikan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Pada sidang media yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop turut mengumumkan keputusan kerajaan mengenai struktur harga baru bagi gas yang yang dibekalkan oleh Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) kepada sektor elektrik dan industri.

Menurut beliau, gas kepada sektor elektrik dan industri dinaikkan sebanyak RM3.00/milion British thermal unit (MMBtu) setiap enam bulan bermula 1 Jun 2011 hingga Disember 2015.

"Harga gas akan mengikut harga pasaran bermula pada 2016.

"Langkah menyemak semula harga gas ini dibuat secara berperingkat bertujuan menangani isu herotan dalam pasaran serta mengurangkan tanggungan subsidi harga gas oleh kerajaan dan PETRONAS," katanya.

Jelas Nor Mohamed, kenaikan secara berperingkat ini memberi kepastian kepada sektor industri dalam merangka perbelanjaan operasi syarikat.

Katanya, di sebalik kenaikkan berkenaan, kerajaan dan PETRONAS pada 2011 masih lagi menanggung subsidi harga gas yang dianggarkan berjumlah RM25.64 bilion.

"Harga gas terbaru ini masih kompetitif berbanding harga pasaran bahan api alternatif seperti gas petroleum cecair (LPG) dan 'Medium Fuel Oil; yang meningkat daripada USD37.05 setong pada Mac 2009 kepada USD93.98 setong pada suku pertama 2011.

"Keputusan terbaru ini tidak akan menjejaskan daya saing industri tempatan dalam jangka panjang. Sebaliknya ia akan membolehkan sektor industri membuat penyesuaian serta meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti," katanya.

:: Tarif baru elektrik...mulai Jun 2011





Soalan lazim tarif baru elektrik

2011/05/30

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengeluarkan satu senarai soalan-soalan lazim ditanya mengenai tarif baru elektrik:

1. Bilakah tarif baru ini akan berkuat kuasa?
Tarif baru elektrik akan berkuat kuasa pada 2 Jun 2011.

2. Berapakah jumlah peningkatan tarif elektrik yang disemak semula?

a) Purata tarif elektrik akan bertambah sebanyak 2.23 sen/kWj atau 7.12 peratus daripada 31.31 sen/kWj kepada 33.54 sen/kWj.

Peningkatan 7.12 peratus ini terdiri daripada:

*5.12 peratus atau 1.60sen/kWj akibat peningkatan harga gas asli bagi sektor tenaga daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU sejajar dengan peningkatan harga-harga tenaga global; serta
*2.0 peratus atau 0.63sen/kWj bagi TNB memperolehi semula sebahagian daripada peningkatan kos bekalan elektrik sejak semakan semula tarif asas pada Jun 2006.

b) 1.0 peratus yang dikenakan ke atas bil bulanan pengguna sebagai "Feed-in-Tariff (FiT)" untuk mempromosikan Tenaga Boleh Baharu RE). Pengguna-pengguna domestik dengan penggunaan kurang daripada 300kWj/bulan akan dikecualikan.

3. Apakah kadar-kadar khas atau diskaun yang ditawarkan kepada pengguna-pengguna?

Pakej semakan semula tarif juga memberikan kadar-kadar khas dan diskaun seperti berikut:

*Diskaun 10 peratus ke atas bil-bil elektrik yang kini dinikmati oleh sekolah-sekolah kerajaan, institusi pengajian tinggi kerajaan, tempat-tempat ibadat serta rumah-rumah kebajikan yang berdaftar dengan kerajaan telah dikekalkan. Diskaun 10 peratus tersebut akan merangkumi juga institusi-institusi pendidikan yang dibiayai separuh oleh kerajaan;

*Pengguna-pengguna Pengstoran Tenaga Termal(TES) akan menikmati dskaun yang lebih tinggi bagi penggunaan elektrik bukan waktu kemuncak;

*Pengurangan caj "standby" bagi penjana bersama untuk menggalakan inisiatif-inisiatif Teknologi Hijau, Keberkesanan Tenaga serta Pengurusan Bahagian Permintaan (DSM); dan

*Syarikat-syarikat rawatan air, pengagihan air serta pembentungan dikategorikan di bawah Tarif Industri.

4. Berapakah purata peningkatan bil elektrik bagi setiap segmen pengguna?

Pengguna-pengguna industri akan mengalami purata kenaikan sebanyak 8.35 peratus (dari 6.2 peratus hingga 10.3 peratus). Sementara pengguna-pengguna komersil akan mengalami purata kenaikan sebanyak 8.35 peratus (dari 6.2 peratus kepada 10.3 peratus).

Bagaimanapun, semua pengguna domestik dengan penggunaan bulanan sehingga 200kWj (jaluran penggunaan asas) dan 100kWj berikutnya tidak akan terjejas dengan peningkatan tarif. Pengguna domestik dalam jaluran ini akan terus menikmati kadar unit subsidi sebanyak 21.8 sen/kWj dan 33.4 sen/kWj masing-masing.
Pengguna domestik dalam jaluran 301 hingga 400 kWj sebulan akan mengalami kenaikan minima bil elektrik (iaitu 0.1 -6.0 peratus atau RM0.07 – RM6.60).

5. Apakah kesan terhadap pengguna Jaluran Penggunaan Asas?

Jaluran Penggunaan Asas dikekalkan pada 200kWj/bulan. Pengguna Domestik dalam jaluran penggunaan asas tidak pernah mengalami sebarang peningkatan tarif elektrik sepanjang pengubahsuaian tarif yang lalu sejak 1997. Kira-kira 3.3 juta isi rumah akan terus menikmati kadar unit subsidi sebanyak 21.8 sen/kWj. Bilangan isi rumah ini merangkumi kesemua 200,000 isi rumah golongan miskin (iaitu pendapatan kurang daripada RM750 sebulan).

6. Apakah tujuan utama semakan semula tarif elektrik?

Kenaikan tarif elektrik adalah sebahagian besarnya disumbang oleh peningkatan harga gas asli terhadap sektor tenaga daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU (28 peratus) berkuat kuasa daripada 1 Jun 1 2011.

Peningkatan harga gas asli tidak dapat dielakkan disebabkan kenaikan harga-harga tenaga global sejak 2009 dan ianya berdasarkan mekanisme harga gas asli oleh kerajaan di mana harga tersebut disemak semula secara bertempoh sejajar dengan tren harga pasaran Minyak Bahanapi Medium (MFO).

Oleh kerana kos gas asli menyumbang kira-kira 54.2 peratus daripada jumlah kos campuran bahanapi (tahun kewangan 2010), kos tambahan bahanapi yang disebabkan oleh semakan semula harga gas diterjemahkan dalam bentuk peningkatan tarif elektrik pengguna.

7. Bagaimanakah harga gas ditentukan?

Harga-harga gas ditentukan berasaskan harga bahanapi alternatif. Sebagai contoh, jika minyak bahanapi digunakan dalam penjanaan tenaga dan jika gas digunakan untuk menggantikan minyak bahanapi sebagai sumber tenaga maka harga gas akan menjadi sama seperti minyak bahanapi. Kebiasaan penggunaan harga gas secara relatif kepada bahanapi alternatif (contoh harga-harga minyak bahanapi) ini telah digunapakai di semua negara-negara di rantau ini.

Mengikut sejarah, sektor tenaga di Malaysia telah menggunakan minyak bahanapi untuk menjana elektrik. Bagi menawarkan insentif-insentif kepada sektor tenaga supaya menukarkan daripada minyak bahanapi kepada gas, sejajar dengan yang dipraktikkan secara antarabangsa, harga-harga gas ditambatkan kepada harga-harga minyak bahanapi, yang didagangkan dan disiarkan secara meluas.

Oleh itu, harga-harga minyak bahanapi telah digunakan sebagai rujukan untuk menentukan harga gas di Malaysia untuk menjana tenaga.

Formula harga gas yang telah dipersetujui antara pembeli dan penjual telah disebutkan di dalam perjanjian-perjanjian penjualan gas (GSA).

Ia memberikan ketelusan antara kedua-dua pihak. Harga-harga gas yang ditentukan berasaskan formula harga gas yang dipersetujui akan bergerak mengikut harga-harga pasaran minyak bahanapi.

8. Bagaimanakah subsidi gas ditentukan?

Subsidi dirumuskan sebagai perbezaan antara harga pasaran (iaitu harga yang ditentukan daripada formula harga yang dipersetujui) dan Harga Tetap Kerajaan (harga subsidi).

Buat masa ini harga pasaran untuk gas bagi sektor tenaga adalah kira-kira RM 47.42 setiap MMBTU sementara harga subsidi ialah RM 10.70 per MMBTU. Oleh itu, perbezaan antara harga pasaran dan harga subsidi, adalah RM36.72 setiap MMBTU.

9. Apakah kesan kos subsidi gas terhadap negara?

Sehingga akhir 2010, PETRONAS telah membelanjakan kira-kira RM131.3 bilion untuk subsidi gas kepada kedua-dua sektor tenaga dan bukan-tenaga.

Sekiranya harga-harga gas kekal tidak berubah (iaitu RM 10.70 setiap MMBTU untuk sektor tenaga; RM 15.35 setiap MMBTU untuk sektor bukan tenaga), ini akan melibatkan kira-kira RM27 bilion subsidi pada 2011. Oleh kerana keadaan tersebut tidak tertanggung lagi, kerajaan tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menstruktur semula subsidi gas. (Nota: Anggaran subsidi gas adalah berasaskan harga minyak bahanapi sebanyak USD 93.98 se tong dan kadar pertukaran sebanyak RM3.0467/AS$).

Memikul beban subsidi akan menghadkan keupayaan PETRONAS untuk menyumbang dalam bentuk dividen dan cukai-cukai korporat. Ia juga menghadkan keupayaan PETRONAS untuk melabur semula bagi mengekalkan aliran pulangan pendapatan di masa hadapan. - BERNAMA



Monday, May 09, 2011

:: Harga gula naik...mulai 10.05.2011 ?



Harga Gula Naik 20 Sen Mulai Selasa

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen daripada RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram mulai Selasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Mohd Zain Mohd Dom berkata langkah untuk merasionalisasikan harga runcit gula itu dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Ekonomi pada Isnin.

"Kerajaan telah membuat keputusan untuk merasionalisasikan subsidi dan dalamhal ini, Majlis Ekonomi menetapkan subsidi tanggungan kerajaan untuk gula perluditurunkan lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun berlaku kenaikan, harga runcit gula di Malaysia masih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Sebagai contoh, katanya harga runcit gula di Indonesia ialah RM3.80 sekilogram, Singapura (RM3.61), Thailand (RM2.31) dan Filipina (RM4.50).

Mohd Zain berkata sebelum merasionalisasikan harga runcit gula itu dibuat, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM400 juta setahun.

Dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun dan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun boleh diguna untuk pembangunan lain, katanya.

Beliau berkata langkah kerajaan menetapkan harga runcit gula baru itu dibuat lebih awal iaitu sehari selepas keputusan mesyuarat Majlis Ekonomi ialah bagimengelak timbulnya ketirisan, tindakan menyorok bekalan itu serta "pembelianpanik" oleh pengguna.

Mohd Zain berkata pengguna juga perlu melihat secara positif berikutan kenaikan harga gula itu kerana ia boleh mengelak orang ramai daripada menggunakan gula dalam kuantiti yang banyak, sekaligus dapat menghindarkan mereka daripada penyakit.

Beliau berkata kebanyakan gula yang berada di pasaran negara diimport dari Australia dan Brazil.- BERNAMA

Tuesday, April 05, 2011

:: PM : Serap 4 elemen Lautan Biru





Serap 4 elemen Lautan Biru: PM
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2011/04/05

Penjawat awam disaran cari rumusan kreatif, tak berfikir konvensional atasi masalah

PUTRAJAYA: Penjawat awam disaran menerapkan empat elemen penting Strategi Lautan Biru iaitu, 'kurangkan, hapuskan, wujudkan dan menambah peluang' ketika melaksanakan tugas supaya pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam terus meningkat.

Kakitangan awam tidak sepatutnya hanya memerhatikan perancangan strategik negara selaku anggota pentadbiran saja, sebaliknya mesti berpaksikan kepada tafsiran objektif mengenai kehendak dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita anggap prinsip ini sebagai ‘empat suku atau quadrant’. Kalau nak dipercepatkan sistem penyampaian, kita kena masuk suku ‘kurangkan’, seperti dilakukan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Sidek Hassan).

“Suku ‘hapuskan’ pula diguna pakai apabila ada ketirisan atau kerugian... kita cuba hapuskan. Umpamanya, isu yang gemparkan kita, iaitu tindakan terhadap pegawai kastam, kita nak banteras salah guna kuasa, pembaziran dan rasuah.

“Menambah peluang pula bermakna kita memberi nilai tambah dalam pengurusan dan pentadbiran bagi meneroka peluang baru. Kita guna apa saja pendekatan pengurusan dan pemikiran lebih kreatif supaya pencapaian kita berhasil mencapai matlamat,” katanya berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini semalam.

Najib menegaskan Strategi Lautan Biru turut menyokong agenda utama kerajaan melalui pelbagai pendekatan baru yang dapat dilihat daripada dua aspek, iaitu mencari rumusan kreatif dan tidak lagi berfikir secara konvensional bagi menyelesaikan masalah.
Katanya, kerja tambahan tidak seharusnya bermakna perlu ada penambahan bajet atau jumlah kakitangan, sebaliknya strategi harus menjadi pedoman bagi mengurangkan tenaga kerja dengan menghapuskan apa yang tidak perlu, sekali gus mewujudkan peluang baru dan menambah bidang baru untuk diceburi.

Beliau juga mengingatkan satu daripada tonggak utama pihak pentadbiran adalah berlandaskan kepada dasar bahawa kerajaan adalah untuk semua rakyat Malaysia dan penjawat awam mesti adil kepada segenap lapisan masyarakat.

Misalnya, kata Perdana Menteri, apabila pelajar Malaysia terkandas di Mesir, kerajaan berusaha membawa mereka pulang ke tanah air serta tindakan untuk menyelesaikan masalah berhubung isu novel Interlok dan kitab Injil yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Najib juga berkata, penjawat awam perlu mengenal pasti bidang yang diberi keutamaan oleh kerajaan dan menyesuaikannya dengan apa yang hendak dilakukan berdasarkan penilaian objektif terhadap persekitaran ekonomi dalaman, serantau serta global supaya strategi ekonomi negara pada masa depan menepati senario dalam dan luar negara.

Katanya, ia perlu diperhebatkan kerana rakyat semakin menerima langkah kerajaan, malah penilaian oleh mereka dari luar negara seperti Pengasas Bersama Kumpulan Transparency International (TI), Michael Hershman, mengesahkan pencapaian negara adalah hakikat, bukan sengaja diada-adakan.

“Pada penghujung 2009, kita mulakan proses perancangan strategik. Lantaran itu lahirlah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan disusuli dengan analisis mendalam kedudukan ekonomi negara dalam konteks hala tuju baru.

“Maka tercetuslah Model Baru Ekonomi (MBE) dengan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 131 mengenai projek permulaan (EPP). Di samping itu, kita sudah kenal pasti apakah kekangan struktur yang boleh menjadi hambatan kepada kita memacu ke hadapan lebih pantas lagi,” katanya.



Saturday, April 02, 2011

:: Petrol ON 97...naik harga lagi ?





Petrol RON 97 naik 20 sen lagi
Apr 1, 11 8:32pm
Kongsi 4120

Bermula tengah malam ini, petrol RON 97 dijual dengan harga baru pada RM2.70 seliter, kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Zulkifli Mokti.

Kenaikan itu bagaimanapun tidak melibatkan RON 95 dan bahan api lain di negara ini.

Zulkifli berkata peningkatan sebanyak 20 sen itu berikutan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia kepada US$114 setong minggu ini berbanding US$105 minggu lalu.

"Kenaikan harga minyak mentah itu berikutan krisis di Timur Tengah," katanya ketika dihubungi.

Zulkifli juga berkata harga minyak mentah dijangka terus meningkat berikutan situasi di Asia Barat itu yang mungkin berterusan.

Pada 31 Januari lalu, harga RON 97 yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa meningkat 10 sen kepada RM2.50 seliter.

Ini kali kelima harga petrol gred RON97 dinaikkan sejak harganya diapungkan dan adalah kenaikan kedua tahun ini sejak 31 Januari lalu.

Petrol gred ini lazimnya digunakan oleh kenderaan yang memerlukan prestasi yang tinggi.

NONE

:: Harga minyak naik... tiada kesan ?



This entry was posted by Fariz Kamis Friday, 21 January, 2011
Read the rest of this entry »

Apa Kesan Harga Minyak Naik?

Pakar Matematik Gunaan dedah fakta sama ada impaknya untung atau rugikan negara

Penyelarasan subsidi ke atas bebearapa bahan keperluan seperti petrol dan gula bukan sahaja memberikan kesan kenaikan harga keperluan asas lain, malah, pelbagai pihak dari sektor perkhidmatan juga menaikkan cas atas alasan tersebut.

Dalam keadaan yang semakin tertekan ini, kakitangan kerajaan yang bergaji RM3,000 sebulan pun sudah boleh dikategorikan miskin, apatah lagi yang tidak bekerja.

Ironinya, setiap kali kenaikan harga barang, golongan ini disaran berjimat cermat. Bagaimanakah lagi caranya hendak berjimat? Adakah sehingga makan sekali seminggu itu yang dikatakan berjimat? Semua saranan ini tentu sekali tidak akan meredakan kemelut sara hidup yang menyeksakan.

Bagi merungkai permasalahan kenaikan harga ini, ikuti wawancara khas wartawan NOR KHALILAH GUSTI HASSAN (Sinar Harian: 5 Januari 2011) dengan Pakar Matematik Gunaan, Prof Madya Hamid Yeop Yeop Zainuddin. Beliau menggunakan pendekatan Matematik untuk meneliti fakta apakah kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia benar-benar merugikan negara sehingga terpaksa mengurangkan subsidi rakyat.

1) Bolehkah harga bahan api ini diturunkan?

HAMID YEOP:

Ya boleh! Malah boleh diturunkan kepada 30 sen sahaja seliter jika menggunakan formula menurunkan harga minyak dan barang-barang yang sekaligus menghapuskan kemiskinan. Formula ini ditemui semasa kajian pada 2008 yang lalu.

Di pasaran dunia harga bahan api turun dan naik tetapi di Malaysia boleh dikatakan tidak pernah turun asyik naik sahaja.

Sesiapa pun faham ini membuktikan harga minyak di Malaysia tidak ditentukan oleh pasaran dunia. Ketika kita RM2.70 seliter, ada negara lain jual hanya 16 sen seliter (Venezuela).

2) Bagaimanakah boleh dijual begitu murah sekali?

HAMID YEOP:

Untuk memudahkan orang awam faham, ambil contoh kelapa sawit. Kita adalah negara pengeluar. Kalau dulu harga sawit RM1,000 satu tan, sekarang dah naik RM3,000. Kita untung atau rugi? Sudah tentu untung 3 kali ganda.

Begitu juga minyak mentah. Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan menganggotai Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Jika Malaysia jual kira-kira 700,000 tong minyak mentah sehari pada kadar USD130 Setong (dengan kadar tukaran mata wang RM3.80 untuk USD1 satu ketika dahulu), ini bermakna perolehan setahun adalah USD33 billion iaitu melebihi RM126 billion. Dengan anggaran perolehan melebihi satu trillion ringgit untuk 10 tahun pada kadar disebutkan tadi, bolehkah Malaysia menurunkan harga bahan apinya? Jika benar rakyat didahulukan maka sudah tentulah jual murah didalam negara tetapi jual ikut harga pasaran di luar negara. Ini adalah hasil negara yang sepatutnya dinikmati rakyat.

3) Maknanya, kenaikan harga minyak mentah dunia tidak merugikan negara?

HAMID YEOP:

Ya benar. Bukan sahaja tidak merugikan Malaysia, tetapi sebaliknya mendapat keuntungan berganda. Seperti kelapa sawit, ramai yang tahu tetapi tidak ramai yang tahu pasal telaga minyak. Kita rujuk data 2008 dengan anggaran jualan minyak mentah Malaysia sebanyak 700,000 tong sehari. Oleh kerana minyak dijual dalam dollar Amerika, bagi memudahkan perbandingan, anggapkan kadar tukaran RM kepada USD ialah RM3.50 untuk USD1.

Harga minyak pada Januari 2007 adalah USD50 iaitu RM175 setong. Justeru perolehan setahun bagi 2007 adalah melebihi RM44 billion. Jun 2008, harga minyak telah naik kepada USD138 iaitu RM483 setong. Justeru perolahan setahun sehingga Jun 2009 adalah kira-kira RM123 billion. Ini memberikan tambahan lebihan untung sebanyak RM78 billion. Keuntungan tambahan ini tidak termasuk keuntungan lain seperti petrol dan diesel. Oleh itu, keuntungan sebenar hasil kenaikan harga minyak dunia adalah jauh lebih tinggi.

4) Dengan RM78 billion lebihan untung, lebih banyakkah subsidi?

HAMID YEOP:

Kalau tiada subsidi pun harga minyak boleh diturunkan, apatah lagi jika ada subsidi. Tetapi rakyat kini menanggung beban kenaikan harga minyak yang kononnya disebabkan kenaikan harga minyak dunia. Ramai yang ingin tahu kemanakah perginya lebihan untuk RM78 billion ini? Lagilah tidak logik kita terpaksa pula mengurangkan subsidi. Kita bukan Singapura dan kita tidak boleh ikut Singapura kerana ia negara pembeli bukan pengeluar. Harga di kilang tidak sama dengan harga di kedai.

5) Benarkah ada subsidi dan siapakah yang menerimanya?

HAMID YEOP:

Ketika minyak mentah berharga USD130 setong (RM455 pada kadar tukaran RM3.50 kepada USD1), kerajaan mengumumkan harga sebenar petrol di Malaysia adalah RM3.00 seliter dan diberikan subsidi RM0.30 sen menjadikannya RM2.70 seliter.

Jika benar ada subsidi, adakah subsidi diberikan kepada semua syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Mobil, Esso, Caltex, BHP dan lain-lain? Tanpa subsidi atau suatu bentuk persetujuan bayaran tertentu kepada syarikat asing tersebut mustahil mereka mahu jual dengan harga sama seperti dijual Petronas, iaitu RM2.70 seliter.

Sekiranya syarikat asing itu tidak mendapat sejumlah subsidi (sama ada daripada kerajaan atau Petronas atau kedua-duanya), tentu mereka menjual mengikut harga yang memberikan keuntungan masing-masing sebagaimana yang dijual di negara lain. Sebab itu harga Shell di Singapura jauh lebih mahal.

Tinjauan saya mendapati stesen minyak membayar tunai dengan harga RM2.70 daripada pembekal syarikat asing. Daripada jumlah itu, mereka hanya memperolehi komisen RM0.095. Ini bermakna, pengusaha stesen minyak bukan penerima subsidi. Justeru kemungkinan besar subsidi tersebut dibayar terus kepada syarikat asing. Lebih 80 peratus daripada RM33 billion subsidi dibayar kepada syarikat asing.

6) Jadi berapakah sebenarnya subsidi minyak kepada rakyat?

HAMID YEOP:

Berdasarkan RM33 billion yang dikatakan tadi, kita boleh mengetahui penggunaan petrol negara ini dalam setahun adalah kira-kira 110 billion liter. Lebih kurang 301 juta liter sehari.

Mengikut laporan pada tahun 2007, terdapat 3,098 stesen minyak di seluruh negara dengan 40% daripadanya, terutama yang di bandar besar dan lebuhraya beroperasi 24 jam.

Ini memberi gambaran purata jualan harian bagi setiap stesen minyak adalah sebanyak 97 ribu liter sehari, atau hampir 3 juta liter sebulan. Suatu angka yang sukar diterima untuk sebuah stesen minyak kerana, secara purata jualan harian mereka tidak melebihi 20,000 liter.

Jika benar ada subsidi maka angka-angkanya mesti selari dengan pengiraan matematik tadi, tetapi kerana angka-angkanya tidak sekena, maka keputusan ini‘menidakkan dan menolak kewujudan subsidi petrol berjumlah RM0.30 sen seliter atau RM33 billion setahun.’

Ada atau tidak subsidi minyak untuk rakyat? Andalah yang menentukan jawapannya.

7) Jika tiada subsidi, rakyat terpaksa membeli dengan harga yang mahal?

HAMID YEOP:

Sepatutnya tidak. Salah satu cara terbaik untuk menurunkan harga minyak adalah dengan menyerapkan terus keuntungan Petronas ke dalam hasil minyak (petrol dan diesel) yang dijual di dalam negara.

Penyerapan keuntungan ini akan membolehkan Petronas menjual Petrol dengan harga lebih rendah. Secara langsung akan menaikkan lagi keuntungan Petronas dengan peningkatan penjualan minyak.

Tindakan inilah yang sebenarnya menangkis persoalan ke manakah perginya keuntungan Petronas.

Lagipun bukan semua pengusaha syarikat asing seperti BHP, Esso, Caltex, Shell dan Mobil membeli minyak mentah dari Petronas. Itupun Petronas tetap mengaut untung berbillion ringgit. Sedangkan dengan harga USD50 setong kerajaan mampu menanggung subsidi berbillion ringgit, inikan pula USD138 setong (RM483).

Bila untung 2 kali ganda sepatutnya turun separuh harga.

8) Benarkah stok minyak kita akan habis?

HAMID YEOP:

Tuhan jadikan Malaysia unik. Laluan gempa bumi pun tidak menempuh Malaysia. Telaga minyak kita macam telaga air di kampung, dicedok banyak mana pun tidak akan habis. Minyak kita, kalau ambil satu tong dia boleh keluar lagi sehingga tiga tong. Saya banyak mmendapat maklumbalas daripada ramai bekas pelajar saya yang menjadi jurutera di Petronas dan di kawsan carigali.

Untuk satu jangka yang amat lama lagi dakwaan ini tidak benar. Kalau habis pun, saya percaya ketika itu minyak bukan lagi merupakan sumber utama tenaga.

9) Formula ini telah Prof cipta semenjak 2008 tetapi tidak diterima kerajaan. Apa komen Prof?

HAMID YEOP:

Sebagai rakyat biasa yang prihatin saya hanya membantu dan mencadangkan setakat yang termampu. Asalnya pun daripada permintaan salah seorang menteri kabinet. Pada pendapat saya, model ekonomi yang digunapakai sekarang adalah betul pada mereka tetapi salah pada rakyat.

10) Akhirnya apakah harapan Prof?

HAMID YEOP:

Menurunkan harga barang menjadi harapan sebahagian besar rakyat. Saya sedia berkongsi formula ini dengan mana-mana pihak terutamanya perti politik yang berhasrat memerintah negara ini, supaya penjelasan dapat diberikan kepada rakyat jelata. InsyaAllah jika pemerintah melaksanakan formula ini, semua rakyat akan jadi kaya dan dalam tiga tahun Malaysia akan jadi ‘World Reserved Bank’.

Sisipan: SINAR HARIAN (5 Januari 2011)

oleh wartawan NOR KHALILAH GUSTI HASSAN