Thursday, August 26, 2010

:: Kerapu seberat 148 kg di Pantai Remis...RM8,000



Kerapu gergasi berjaya ditangkap



IPOH 24 Ogos - Seekor ikan kerapu gergasi sepanjang 2.5 meter dan berat 148 kilogram berjaya ditangkap oleh seorang nelayan di Pantai Remis.

Ikan kerapu gergasi yang cukup untuk dijadikan hidangan kepada lebih 400 orang itu kemudian dibeli oleh seorang pengusaha restoran di sini.

Pengusaha restoran tersebut, Teoh Kar Hooi berkata, ikan kerapu yang dianggarkan berusia lebih 30 tahun itu dibeli dengan harga RM8,000.

"Saya terkejut apabila nelayan itu yang juga rakan saya menyerahkan kerapu gergasi ini.

"Dia tangkap ikan kerapu gergasi ini dekat Pantai Remis malam semalam menggunakan pukat tarik," katanya kepada pemberita di restorannya di Pasir Putih di sini hari ini.

Kah Hooi yang menjalankan perniagaan restoran sejak lebih 20 tahun menyifatkan kerapu gergasi itu amat istimewa untuk dijadikan hidangan.

Malah katanya, dengan adanya sajian ikan istimewa tersebut, restorannya akan menjadi tumpuan kepada pengunjung di bandar raya ini.

"Ini adalah kali kedua rakan saya mendapat kerapu gergasi. Kali pertama beberapa tahun lalu dan beratnya 170 kilogram," katanya.

Bagi dirinya pula sebagai pengusaha restoran kata Kah Hooi, ini adalah kali kelapan dia menghidangkan ikan gergasi seumpama itu.