Thursday, August 12, 2010

:: Pengetua cabul pelajar di Bintulu ?



Guru melakukan kesalahan disiplin tidak akan dilindungi



KUCHING: Guru yang melakukan kesalahan disiplin tidak akan dilindungi tetapi sebaliknya dibawa ke muka pengadilan yang sewajarnya.

AMALKAN KEBERSIHAN: Fatimah membantu salah seorang peniaga di bazar Ramadan MBKS memakai apron di Pasar Komuniti Stutong di sini, semalam.

AMALKAN KEBERSIHAN: Fatimah membantu salah seorang peniaga di bazar Ramadan MBKS memakai apron di Pasar Komuniti Stutong di sini, semalam.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, ia termasuk guru yang terlibat dalam kes salah laku pelajar yang seharusnya melalui proses perundangan dan pengadilan agar anak-anak sekolah tidak teranaiya.

“Kita selalu menasihatkan kalau ada kes salah laku di kalangan guru terhadap anak-anak sekolah ia harus dilaporkan.

“Bagi kita orang yang bertanggungjawab dalam perkara ini (salah laku) tidak akan di-lindungi tetapi harus melalui proses perundangan dan pengadilan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di tempat letak kereta Pasar Komuniti Stutong di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan akhbar semalam yang menyiarkan seorang pengetua sebuah sekolah menengah di Bintulu ditahan polis bagi membantu siasatan dua kes cabul pelajar lelaki berusia 16 tahun pada April dan Julai lalu.

Akhbar dipetik sebagai berkata dalam kejadian itu, dua pelajar terbabit dikatakan dijemput ke rumah suspek berusia 48 tahun bagi menunai-kan solat jemaah serta diberikan nasihat sebelum diarah menanggalkan pakaian dan diarahkan tidur bersamanya.

Fatimah berkata pihaknya telah menerima maklumat daripada Pengarah Jabatan Pelajaran berhubung kes ber-kenaan kerana siasatan juga harus diadakan di peringkat sekolah.

“Memandangkan kes ini telah dilaporkan kepada pihak polis maka kini ia menjadi kes polis kerana kita perlu mengambil tindakan undang-undang.

“Selain itu kita juga akan mengambil tindakan pentadbiran nanti sekiranya kes jenayah dibuktikan telah berlaku melalui proses mahkamah,” tegas beliau.

Beliau dalam pada itu memohon kepada ibu bapa agar melaporkan perkara sedemikian sekiranya ia berlaku bagi memberhentikan penganaiyaan terhadap anak-anak dan juga teladan kepada mereka yang lain.

Fatimah berkata walaupun kes melibatkan salah laku guru merupakan peratusan kecil namun sedikit sebanyak ia akan menjejaskan dari segi kepercayaan ibu bapa terhadap profesion keguruan dan institusi sekolah.

“Seperti yang kita sedia maklum, guru dan pengetua adalah orang yang diamanahkan untuk membimbing, mendidik serta memberi contoh yang baik kepada anak-anak sekolah,” katanya.

Justeru beliau menegaskan kepada para guru agar merenung semula ikrar dalam bidang perguruan iaitu bertanggungjawab untuk mendidik, membimbing anak-anak dan pada masa yang sama memastikan imej profesion keguruan sentiasa dipelihara.