'Terkejut, kecewa'
Oleh Norfatimah Ahmad dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my
2010/08/28
Pegawai Imigresen Tinggi diberi surat tunjuk sebab kes sogokan RM60,000
KUALA LUMPUR: “Saya terkejut dan kecewa.” Itulah maklum balas awal Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman (gambar) ketika ditanya mengenai kegiatan sogokan mencecah RM60,000 yang diterima sesetengah anggota dan pegawainya di Jeti Pulau Ketam hingga menyebabkan pintu masuk negara di Pelabuhan Klang itu mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.
Malah, beliau juga tidak menjangka keadaan sebegitu teruk walaupun selepas menempatkan antara empat hingga lima pegawai dari ibu pejabat imigresen di setiap pintu keluar masuk untuk memantau operasi harian menjelang Aidilfitri ini
“Nampaknya langkah menempatkan pegawai dari ibu pejabat imigresen ini masih tidak cukup dan tidak berjaya untuk mengekang kejadian itu (pendatang tanpa izin bolos dan sogokan kepada anggota serta pegawai imigresen). Tidak ada kompromi dalam hal ini (rasuah), semuanya kerana mereka tidak boleh kawal nafsu.
“Dalam hal ini, amaran adalah kepada Pegawai Imigresen Tinggi (PIT) yang bertanggungjawab mengawal selia situasi di pintu keluar dan masuk negara kerana jika mereka alpa, tentunya pelbagai masalah berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai anggota penguatkuasa jabatan itu dipercayai dibayar kira-kira RM2,000 sehari untuk ‘peranan’ mereka memudahkan urusan keluar dan masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada dokumen.
Habuan yang diterima anggota penguatkuasa itu dibiayai sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia yang dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari.
Chalo terbabit menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cap palsu imigresen bagi warga Indonesia yang tiada dokumen keluar-masuk negara ini dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing.
Ejen haram ini mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM1,800 bagi setiap pelanggan mereka bergantung kepada khidmat yang disediakan.
Abdul Rahman berkata, mengikut prosedur biasa, pihaknya akan mengemukakan surat tunjuk sebab untuk dijawab anggota dan pegawai di jeti berkenaan dalam tempoh tertentu.
“Langkah pertama yang diambil semalam adalah mengarahkan PIT jeti berkenaan memberi penjelasan berhubung isu ini,” katanya.
Mengenai kawalan di pintu keluar masuk negara ini, beliau berkata, pelabuhan dan jeti sering kali menjadi tumpuan terutama golongan bawahan kerana ia menjimatkan, berbanding laluan darat atau udara.
“Sebenarnya kerja imigresen ini mudah, kecuali anggotanya tidak menggunakan mata, telinga dan hati. Bagaimanapun, jika ada yang membolosi pintu masuk ia bukan saja kegagalan imigresen, malah agensi penguatkuasa lain,” katanya.