Hanya empat guru Semenanjung diambil bertugas
by Nick Fletcher
August 18, 2010, Wednesday
Kerajaan telah menunaikan janji memberi keutamaan untuk guru berasal dari Sarawak, kata KGBS
KUCHING: Seramai 574 orang guru baru tempatan dan hanya empat orang guru dari Semenanjung yang ditempatkan di sekolah-sekolah rendah di negeri ini, bagi sesi penempatan guru baru pada Julai lepas.
Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata peningkatan jumlah penempatan guru tempatan itu menunjukkan kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran prihatin terhadap keperluan guru tempatan di negeri ini.
“KGBS mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana telah menunaikan janji dan permintaan kita sebelum ini untuk menempatkan guru tempatan di Sarawak.
“Ini juga menunjukkan kerajaan prihatin terhadap keperluan kita, yang akan memudahkan lagi proses pembelajaran di sekolah-sekolah rendah kita,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Ahmad, penempatan guru-guru baru tersebut adalah dari maktab-maktab perguruan di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau juga yakin inisiatif kerajaan itu secara tidak langsung akan mengatasi masalah kekurangan dan perpindahan guru di Sarawak.
“Kita berharap kerajaan akan terus menggunakan formula penempatan guru ini khususnya di Sarawak untuk sesi penempatan seterusnya.
“Dengan itu, saya yakin masalah kekurangan dan perpindahan guru di Sarawak akan dapat diatasi,” katanya.