Semakin lunturkah semangat patriotik rakyat?
by Sandy Mark Luna
August 18, 2010, Wednesday
KUCHING: Adakah semangat patriotik dan pengisian erti kemerdekaan semakin luntur di kalangan masyarakat hari ini, jika diambil kira dengan penyertaan kita membuktikan semangat itu melalui amalan mengibarkan Jalur Gamilang.
Amalan mengibarkan Jalur Gemilang semakin berkurangan dengan ketara saban tahun
Ini kerana amalan mengibar Jalur Gemilang di kalangan penduduk bandar raya ini kurang memberangsangkan walaupun sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-53 tahun tinggal dua minggu lagi.
Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati beberapa kawasan perumahan, bangunan-bangunan sekitar pusat bandar raya menunjukkan bilangan bendera yang dikibarkan semakin kurang dan perbezaan ini sangat ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Penurunan dalam acara mengibarkan bendera negara itu mula disaksikan pada bulan kemerdekaan tahun lepas.
Amalan mengibarkan bendera di rumah, premis kedai masih kurang hangat malah para pemandu juga masih kelihatan tidak mengambil inisiatif untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing.
Hanya bangunan-bangunan pejabat besar, pejabat kerajaan dan hotel-hotel besar yang kelihatan mengibarkan bendera di premis masing-masing.
Dexter Engkol Francis, 25, berkata kerajaan memainkan peranan penting untuk menggalakkan amalan mengibar Jalur Gemilang di kalangan rakyat.
Menurut pembantu arkitek tersebut, kenderaan ahli-ahli politik atau pemimpin harus dihiasi dengan Jalur Gemilang agar dapat menjadi contoh kepada rakyat.
“Kerajaan perlu mengambil inisiatif, contohnya seperti memberi Jalur Gemilang secara percuma, bagi menunjukkan kerajaan mengambil berat dalam memelihara semangat patriotik di kalangan masyarakat.
“Secara jujurnya, saya juga tidak memahami kenapa semangat kemerdekaan dalam masyarakat semakin luntur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, semalam.
Manakala Siti Mariam Mat 42, berkata masyarakat berkemungkinan akan lebih bersemangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang sekiranya ia diberi secara percuma.
“Mungkin mereka enggan membelanjakan duit sendiri untuk membeli bendera memandangkan perbelanjaan semakin bertambah ekoran harga barangan yang semakin meningkat,” tambahnya.
Beliau yang merupakan seorang penjaja berkata, kempen kesedaran mengenai kemerdekaan perlu diadakan bagi memulihara dan memelihara semangat patriotik di kalangan masyarakat.
Fauziah Rapaie, 32 berpendapat masyarakat, khususnya golongan muda kurang pendedahan terhadap erti kemerdekaan.
“Remaja sekarang tidak kenal erti sebenar kemerdekaan dan juga kepahitan pahlawan-pahlawan negara yang sanggup mengorbankan nyawa demi memperjuangkan kemerdekaan pada zaman sebelum kemerdekaan.
“Kebanyakan mereka terutama golongan remaja yang mengibarkan Jalur Gemilang tersebut di motosikal hanya untuk suka-suka dan bukan kerana menghayatinya,” katanya.
Beliau menggalakkan orang ramai mempamerkan semangat tersebut dengan mengibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja di pejabat, rumah malah di kenderaan.
“Bagaimanapun, apa yang penting adalah pemahaman dan penghayatan erti kemerdekaan, bukan mempamerkannya dari segi fizikal,” katanya.