Thursday, June 02, 2011

:: Tadao Kaamatan di Sabah




Unsur istimewa Pesta Kaamatan







Chief Minister Datuk Seri Musa Aman (left) and his deputy, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan (centre), cutting stalks of  padi as a symbolic gesture at the launch of the state-level Pesta Kaamatan  in Tamparuli, Tuaran, yesterday. — NST picture by Edmund Samunting


29th May, 2011

PESTA Kaamatan atau pesta menuai dirayakan setiap tahun di Sabah oleh suku kaum Kadazandusun dan Murut. Unsur budaya yang istimewa ini telah diberi pengiktirafan rasmi pada tahun 1960 dan sehingga kini ia terus menjadi salah satu perayaan utama di Sabah, dibiayai oleh kerajaan.

Kumpulan-kumpulan etnik Kadazandusun terbahagi kepada tiga keluarga linguistik utama iaitu Dusun, Paitan dan Murut. Kesemuanya terdapat 30 kumpulan sub-etnik yang menghasilkan padi sebagai makanan utama dan dengan itu merayakan pesta Kaamatan. Kumpulan keluarga Dusun adalah termasuk suku kaum Kadazandusun dari daerah Penampang, Ranau, Tambunan, sebahagian daripada Keningau, Papar, Membakut dan Dusun Tindal di Kota Belud, Rungus, Tobilung, Kimaragang, Tatana, Bisaya, Kwijau, Lotud dan Kadazandusun Pantai Timur (Labuk). Manakala kumpulan keluarga Murut adalah Tahol, Timugon, Paluan Okolod, Kalabakan serta beberapa sub-etnik yang lain. Sementara kumpulan keluarga Paitan adalah terdiri daripada Orang Sungai di Ulu Kinabatangan, Tombonuo, Abai Sungai dan Lobu.

Setiap sub-etnik mempunyai nama panggilannya tersendiri bagi perayaan Pesta Kaamatan. Sub-etnik Rungus menamakannya sebagai moginakan, Kadazandusun yang lain menamakannya sebagai Kokotuon, Kaamatan atau Moginakan. Manakala, kumpulan Murut Timogun menamakannya Orou napangan nanantab.

Kumpulan masyarakat bumiputra yang disebut di atas pada asasnya adalah petani yang menanam padi huma dan padi sawah, menduduki kawasan datar di utara dan pantai barat serta kawasan sekitar gunung Kinabalu. Sementara sub-etnik Orang Sungai pula menduduki kawasan datar di pantai timur.

Kumpulan etnik Dusun berkongsi sistem kepercayaan masing-masing. Kumpulan etnik Murut serta kawasan perbatasan dengan Sarawak dan Kalimantan. Pada masa yang lalu kumpulan ini terpencil dengan cara hidup yang berkelana, bertani secara berpindah-randah dan memburu. Sistem kepercayaan animisme Kadazandusun berpusat kepada padi sebagai makanan utama mereka dan ritual bagi memelihara keseimbangan dan keharmonian antara manusia dan keadaan alam sekitar untuk memberi keberhasilan penanaman dan penuaian padi. Padi merupakan sumber penting menggambarkan status dan kekayaan masyarakat tradisi. Walaupun proses pemodenan dan pertukaran kepada kepercayaan lain telah menghakis kebanyakan adat resam, budaya yang diteruskan itu adalah menjadi unsur identiti masyarakat Kadazandusun.

Sejak zaman-berzaman Kaamatan telah dirayakan oleh setiap keluarga Kadazandusun di rumah atau kampung mereka sebagai tanda pengucapan syukur kepada semangat padi, yang dipanggil Bambarayon/ Bambaazon/Toguruwon kerana hasil tuaian yang lumayan. Juga sebagai doa kepada pencipta iaitu Kinoingan/ Kinorohingan supaya memberikan tuaian yang lebih lumayan lagi pada tahun hadapan. Dikatakan bermula dari masa bulan penuh (Sawang) pertama selepas menuai, pesta Kaamatan biasanya berlangsung selama dua hingga tiga hari. Untuk memahami lebih mendalam tentang Kaamatan perlulah mengetahui aktiviti penanaman padi yang sangat terikat kepada kepercayaan keagamaan.

Berdasarkan kepada sejarah, penanaman padi adalah cara kehidupan masyarakat Kadazandusun. Penanaman padi adalah khususnya memenuhi keperluan keluarga dan kewajipan spiritual/ rohaniah dan bukan untuk dijual. Pada umumnya, sepanjang musim penghasilan padi termasuk perayaan pesta Kaamatan, penduduk di kampung mengamalkan mitabang (gotong-royong). Amalan ini menunjukkan semangat kerjasama di kalangan penduduk kampung dalam menghasilkan padi. Bermula dari kegiatan membersihkan ladang / sawah seterusnya kegiatan penanaman, pemeliharaan serta penuaian hinggalah penghasilan beras, penduduk kampung sentiasa berkerjasama dalam satu pasukan menjalankan kerja secara bergilir-gilir dan bersistematik. Satu setiap keluarga mengetahui giliran dan tugasan masing-masing untuk kepentingan bersama.

Upacara ritual dilakukan hampir setiap hari, secara bergilir. Semasa upacara ini dilakukan, tuan punya rumah akan menyediakan pelbagai sajian untuk penduduk kampung yang sama-sama melakukan tugasan pada hari berkenaan dan mereka turut membawa sajian seperti tapai- minuman tradisional yang terkenal dikalangan masyarakat Kadazandusun; untuk meringankan beban tuan rumah dalam penyediaan sajian. Perhimpunan upacara ritual yang diadakan hampir setiap hari itu dapat mengeratkan lagi hubungan serta meneguhkan perkongsian kewajipan mereka dalam penghasilan padi untuk keperluan sendiri dan untuk keperluan rohaniah. Penanaman padi di kalangan Kadazandusun penuh dengan unsur spiritual/rohaniah kerana mereka percaya padi mempunyai semangat dan harus diperlakukan dengan penuh hormat.

Semasa perayaan pesta Kaamatan, pemilihan Unduk Ngadau menjadi salah satu acara kemuncak perayaan. Unduk Ngadau atau Tunduk bermaksud pucuk atau daun muda tumbuhan, sementara Ngadau atau Tadau bermaksud matahari di waktu tengah hari. Kedua-dua, Unduk Ngadau, bermaksud matahari dalam keadaannya paling terang, melambangkan keremajaan yang sedang mekar, dengan kecantikan menggambarkan keadaan fizikal yang baik, di mana kualiti-kualiti kekuatan, kecantikan, bersemangat dan kasih sayang berada pada puncaknya. Apabila nilai ini diterjemah kepada Unduk Ngadau, yang dipilih semasa pesta Kaamatan, wanita remaja yang dipilih sebagai Unduk Ngadau dari antara wanita-wanita jelita dikenalpasti sebagai mempunyai nilai yang lebih tinggi dan erti yang lebih mendalam, bukan setakat penampilan fizikalnya.