YB. DATO SRI HAJI MOHD ASFIA AWANG NASSAR |
15 ahli dewan menyokong manakala 45 menolak terhadap usul Chong agar Dr Jerip dikenakan tindakan
KUCHING: Undian dalam dewan tidak menyebelahi usul yang dicadangkan oleh Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) untuk mengambil tindakan ke atas Dr Jerip Susil (BN-Bengoh) berhubung kenyataan ‘lakia monkey’.
Speakar Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar memberitahu bahawa di bawah Perintah Tetap 29 (1): “sememangnya kenyataan berbaur perkauman dilarang dalam dewan”.
Asfia kemudiannya meminta ahli dewan untuk membuat undian bagi menentukan sama ada usul itu patut diteruskan atau tidak.
Bagaimanapun, hanya 15 orang ahli dewan sahaja yang bersetuju manakala selebihnya 45 orang menolak.
Chong mengemukakan usul tersebut dengan mendakwa Dr Jerip melanggar Perintah Tetap 32 (10) (b) dan (c) kerana membangkitkan perasan tidak puas hati antara masyarakat Cina dan Dayak.
Chong dalam usulnya mahu Dr Jerip memohon maaf kepada rakyat Sarawak atas kenyataan berunsur perkauman.
Sekiranya Dr Jerip enggan berbuat demikian, beliau menurut Chong perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan.
Dalam pada itu, Dr Jerip dalam ucapannya pada Jumaat lalu melahirkan kekesalan terhadap kenyataan yang didengarnya di sebuah kedai runcit di Kota Sentosa di mana Cina Hakka menggelar pelanggan Dayak sebagai ‘lakia monkeys’ (monyet Dayak).
“Ketika saya berada di sebuah kedai runcit di Kota Sentosa ketika Gawai lalu, saya mendengar perbualan dalam Hakka, ‘monyet lakia sekarang ada di sini untuk mengambil barangan kita’.
“Bukan sahaja mereka menggelar kita bodoh, tetapi ketika kita membantu perniagaan mereka pada musim perayaan, mereka memanggil kita monyet lakia,” katanya sebagai dipetik berkata.
Ketika ditanya sama ada Jawatankuasa Keistimewaan akan mengambil tindakan terhadap Dr Jerip, beliau memberitahu, ia terpulang kepada jawatankuasa tersebut sekiranya ada orang mencadangkannya.
“Saya tidak berada dalam dewan pada petang itu dan tidak mengetahui kandungan ucapannya (dan tidak dapat mengulas lanjut).
“Namun, janganlah kita terlalu menekankan perkara ini tetapi saling menasihati satu sama lain untuk tidak menyentuh isu sensitif khasnya berkaitan sentimen perkauman,” katanya.