Surat: Guru kanan mohon cuti diluluskan untuk sambung belajar
2011/06/08
SEBAGAI guru di sekolah luar bandar yang menyedari mengenai kepentingan ilmu, saya sangat berminat menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana kedoktoran (PhD). Sudah lima kali saya memohon (dari 2006 hingga 2011), kecuali 2008 kerana permohonan ‘online’ disekat sebab terlebih had umur 40 tahun yang ditetapkan. Saya sungguh gembira bila Kementerian Pelajaran mewujudkan program cuti belajar bergaji penuh tanpa biasiswa dengan had umur 44 tahun, dan saya sudah memohonnya sejak 2009 hingga 2011.Pada Mac lalu, saya dipanggil temuduga dan sangat sedih apabila dimaklumkan pada 31 Mei lalu bahawa permohonan saya tidak berjaya.
Persoalan saya, mengapakah susah sangat untuk saya mendapat cuti belajar selepas saya memohonnya sebanyak lima kali? Apakah penggunaan bahasa Inggeris saya yang tidak lancar ketika sesi temuduga menjadi penyebab utama?
Dengan bebanan tugas sebagai guru kanan di sekolah menengah, di mana saya perlu mengendalikan dua bidang serentak iaitu bidang pengurusan dan pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran, saya sangat memerlukan cuti belajar untuk menyambung pelajaran, walaupun tanpa biasiswa.
Tambahan pula komitment terhadap keluarga dan kekangan masa untuk membuat kajian di luar kawasan turut menyumbang kepada sangat pentingnya cuti belajar ini kepada saya.
Saya mencadangkan pihak Bahagian Tajaan Kementerian Pelajaran turut mengambil kira faktor tanggungjawab dan kemampuan kewangan guru ketika membuat penilaian. Sehingga ke saat ini saya masih merayu pihak Kementerian Pelajaran terutama Bahagian Tajaan agar meluluskan permohonan yang sangat saya perlukan.
Tahun ini adalah peluang terakhir saya kerana tahun hadapan umur saya sudah pun melebihi had umur 44 tahun yang ditetapkan.
GURU SABAR MENANTI,
Bidor, Perak.