Guru siswazah sekolah rendah terpinggir
2011/06/28
SEBAGAI guru, saya berterima kasih kepada kerajaan kerana banyak membantu meningkatkan tahap profesionalisme pendidikan negara. Tidak dapat dinafikan banyak insentif diberi kepada pendidik sejajar dengan bebanan yang digalas mereka.Kerajaan juga membuka ruang cukup luas kepada pendidik meningkatkan tahap kualiti modal insan masing-masing dengan menggalakkan mereka menyambung pelajaran hingga dapat menggenggam segulung ijazah.
Terlalu ramai guru yang menyahut cabaran ini dan amat berbangga apabila dapat menamatkan pengajian.Namun, disebabkan sistem kenaikan pangkat yang pincang, mereka terus teraniaya. Amat malang guru ini yang berada di gred DG41, malah ada yang bergred DG44 di sekolah rendah, dinafikan peluangnya untuk menjadi pentadbir sekolah, seolah-olah pengalaman dan ilmu mereka langsung tidak ada nilainya dalam perkiraan jawatan itu.
Kementerian Pelajaran hanya menawarkan guru penolong kanan sekolah rendah kepada guru DG32 saja, maka berebutlah golongan ini mengisi borang. Guru berijazah di sekolah rendah hanya mampu menggigit jari saja sedangkan mereka jauh lebih senior.
Lebih mencelarukan lagi apabila guru penolong kanan bergred DG32 menyambung pelajaran ke peringkat ijazah tidak pula diturunkan menjadi guru penolong, malah diserapkan terus kepada DG41 dengan jawatan sama.
Ini membuktikan guru penolong kanan di sekolah rendah boleh dijawat oleh orang yang bergred DG41 ke atas. Jadi mengapa guru yang asalnya bergred DG41 masih terus teraniaya dengan tidak ditawarkan jawatan berkenaan sedangkan mereka lebih senior. Adakah surat tawaran itu tidak boleh diubah?
Semoga cerdik pandai di Kementerian Pelajaran dapat melihat kepincangan ini dan menanganinya dengan penuh hikmah, agar tiada lagi diskriminasi kepada guru penolong DG41 di sekolah rendah. GURU IJAZAH TERPINGGIR, Kuala Terengganu.