Saturday, June 25, 2011

:: Maharaja Lawak... hadiah Nabil lebih bernilai...?





Kumpulan Sepah menjadi juara Maharaja Lawak yang diadakan di Stadium Malawati,Shah Alam, Jumaat.



Finalis Maharaja Lawak menerima hadiah masing-masing.

Sepah juara Maharaja Lawak 2011 Oleh Rozdan Mazalan 2011/06/25

Jozan kedua, Nabil ketiga

SHAH ALAM: Program Maharaja Lawak terbitan Astro yang bersiaran selama 14 minggu berakhir malam tadi dengan gelaran juara sulung diraih kumpulan Sepah, gabungan tiga anak muda dari Johor yang mengulangi kejayaan menjuarai program realiti Raja Lawak musim ketiga.

Sepah yang dianggotai Mohd Noor Murad, 26, (Mamat); Shahmira Muhammad, 27, (Shuib), dan Mohd Nadzri Zainal Abidin, 26, (Jap) membawa pulang hadiah wang tunai RM350,000 selepas mengetepikan saingan tiga peserta lain sepanjang program disiarkan saluran Astro Warna 132 itu.
Naib juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM250,000 diraih kumpulan Jozan gandingan Mohd Yazid Lim Mohd Aziz, 27, (Johan) dan Mohd Razizan Abdul Razak, 27, (Zizan).

Peserta solo tunggal, Ahmad Nabil Ahmad, 28, sekadar berpuas hati di tempat ketiga dan membawa pulang RM150,000 manakala kumpulan Jambu dianggotai Yussry Edoo, 35, (Yus) dan Zamaratul Amri Zakaria, 35, (Tokey) di tempat keempat dengan hadiah RM50,000.

Program itu yang dilangsungkan di Stadium Malawati, di sini diadili juri profesional, iaitu pengarah terkenal, Mamat Khalid dan Ahmad Idham serta pelakon komedi, Saiful Apek yang mewakili undian sebanyak 50 peratus, manakala markah selebihnya ditentukan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton. Maharaja Lawak adalah program realiti komedi terbesar yang menghimpunkan sebahagian daripada juara antara juara program Raja Lawak yang mula disiarkan pada 2007 dan memasuki musim kelima, tahun ini. Bagaimanapun, siaran akhir hanya dapat ditonton oleh mereka yang melanggan saluran Astro Warna 132.