KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mempersiapkan diri berhadapan dengan pembangkang yang semakin kuat pada Persidangan DUN nanti.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat prapersidangan DUN semalam, Taib yang juga pengerusi BN Negeri berkata setiap ahli BN mesti bijak menangani setiap isu dibangkitkan pembangkang dengan pendekatan yang lebih politikal bukannya berasaskan kepentingan peribadi.
“Oleh itu mesyuarat hari ini (semalam) lebih kepada taklimat kepada ahli-ahli dewan BN terutama yang baru mengenai kedudukan politik terkini Sarawak dan saya fikir mereka telah menghadiri seminar (BN) sebelum ini dan banyak soal jawab semasa seminar itu.
“Ini adalah sebahagian daripada persiapan berhadapan isu yang mungkin dibangkitkan pembangkang.
“Mereka (ahli dewan BN) turut dimaklum mengenai sikap pembangkang, agar mereka lebih mengerti sikap pembangkang dan apa yang mendorong pembangkang bertindak sedemikian,” jelasnya.
Mesyuarat yang berlangsung selama lebih dua jam itu turut dihadiri Timbalan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Presiden PRS Tan Sri James Masing, Presiden SPDP Tan Sri William Mawan dan Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh.
Sementara itu, Masing yang ditemui sejurus selepas mesyuarat itu tidak menolak persidangan kali ini lebih ‘hangat’ berbanding sebelum ini memandangkan jumlah pembangkang khususnya daripada DAP semakin bertambah.
“Saya amat berharap mereka (pembangkang) benar-benar memahami apa itu kabinet bayangan, jika mereka benar-benar serius mengenai perkara ini dan tidak sabar untuk melihat ia berfungsi.
“Kabinet bayangan adalah ‘kerajaan’ sama ada mereka berkelakuan seperti sebuah kerajaan, berkelakuan seperti lelaki budiman… kalau mereka berkelakuan seperti monyet, maka kabinet seterusnya dianggotai monyet. Itu saja,” katanya.
Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah, menjangkakan pembangkang akan membangkitkan banyak isu tidak berasas yang disifatkan ‘sampah’.
“Mungkin kali ini kita (BN) perlu menyediakan tong sampah yang lebih besar,” ujarnya.
Speaker DUN Dato Sri Mohamad Asfia Awang Nassar sebelum ini memberitahu media bahawa Persidangan DUN Ke-17 bermula hari ini dan didahului dengan majlis angkat sumpah oleh wakil rakyat baru pada jam 9 pagi.
Sementara pada keesokannya (21 Jun) majlis perasmian persidangan akan berlangsung dengan acara perarakan oleh Yang di-Petua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin diikuti ucaptama beliau.
Acara untuk hari itu diteruskan dengan majlis banquet negeri pada sebelah malamnya di Dewan Santapan DUN, jelasnya.
Tun Salahuddin selaku tetamu kehormat pada majlis itu, tambahnya.
Menurutnya lagi pada 22 Jun, persidangan pada sebelah pagi dimulakan dengan sesi soal jawab diikuti bacaan bagi Rang Undang-Undang dan diakhiri oleh usul.
Manakala pada 23 dan 24 Jun persidangan bermula dengan sesi soal jawab dan perbahasan ucaptama Yang di-Pertua Negeri.
Asfia menambah persidangan akan diteruskan pada 27 hingga 29 Jun dengan ucapan penggulungan oleh menteri.