Tuesday, June 07, 2011

:: Gambir Sarawak dicari pelancong...?




Gerai jual gambir Sarawak semakin banyak di Lebuh India main bazaar


‘PRODUK AJAIB’: Gambir yang sudah dibungkus dan sedia untuk dijual.


KUCHING: Mungkin disebabkan populariti gambir asli Sarawak di kalangan pelancong terutamanya dari Semenanjung Malaysia menyebabkan semakin banyak gerai kecil menjual gambir wujud di sekitar Lebuh India dan Jalan Main Bazaar.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati terdapat kira-kira 10 gerai menjual gambir asli Sarawak beroperasi di kedua-dua lokasi tersebut yang juga merupakan tempat tarikan pelancong.

Kekayaan sumber semula jadi juga menjadikan Sarawak antara negeri yang terkenal di Malaysia dengan produk gambir asli Sarawak yang seakan produk wajib dibeli oleh pelancong yang datang ke negeri ini.

Melihat kepada potensi pasaran produk (gambir asli Sarawak) itu, Hashim Merais, 43, iaitu anak jati negeri ini tidak mahu terlepas peluang untuk memperolehi pendapatan dengan menjadi ejen atau penjual gambir asli Sarawak.

Bermula pada 2008, kini Hashim yang hanya membuka gerainya di kaki lima bangunan kedai di hadapan Tebingan Kuching sudah mampu memperolehi pendapatan sekitar RM1,000 sehingga RM2,000 sebulan.

Menurut beliau, gambir asli merupakan antara ubat tradisional yang mujarab sehinggakan ia dikenali ramai termasuk pelancong dari luar negara dan sanggup membelinya dalam kuantiti yang banyak.

“Gambir asli sarawak sangat terkenal bukan sahaja dengan kelebihannya dalam menyembuhkan dan melegakan misalnya sakit gigi, terkena sengatan haiwan berbisa dan banyak lagi, malah ia juga sudah menjadi benda wajib dibeli ketika mengunjungi negeri ini.

“Justeru saya sebagai rakyat negeri ini tidak mahu melepaskan peluang untuk menjual produk ini dan saya bersyukur kerana sehingga hari ini saya mampu meraih pendapatan mencecah RM2,000 sebulan,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo semalam.

Tambah beliau, gambir asli itu pada mulanya diperolehi dalam kuantiti yang banyak dari pedalaman Marudi yang kemudian dibungkus dalam bungkusan kecil dan dijual pada harga dari RM5 sehingga ratusan ringgit.

Sementara Masli, 36, juga penjual gambir asli memberitahu bahawa kebanyakan pelanggannya adalah pengunjung atau pelancong dari Semenanjung Malaysia.

“Kebanyakan pelancong dari Semenanjung Malaysia memang tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan gambir ini, malah ada juga yang sanggup membeli dalam bungkusan yang banyak dan rata-rata pelanggan saya mengakui kemujaraban ubat tradisional ini,” katanya.

Menurut Masli, pelanggan yang datang mengunjungi gerai beliau juga lebih ramai pada musim cuti sekolah.

“Keuntungan memang tidak lari daripada RM1,000 sebulan dan pada musim cuti sekolah, saya mampu mencapai keuntungan sehingga RM2,000 sebulan kerana pelanggan adalah lebih ramai pada masa ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa bulan Januari sehingga Mac adalah tempoh yang kurang mendatangkan keuntungan.

Gambir dihasilkan daripada getah pokok gambir dan ia amat berguna pada waktu kecemasan.

Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli dan sedikit sebanyak memberi banyak faedah untuk dimanfaatkan oleh penduduk negeri ini.