KUCHING: Kuil Sri Maha Mariaman Matang yang merupakan kuil Hindu tertua di negeri ini kini hampir siap sepenuhnya selepas menjalani kerja-kerja pemuliharaan.
Kerja-kerja tersebut yang mula dijalankan pada 2007 menurut jawatankuasa khasnya menelan belanja sebanyak RM500,000.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng, kuil tersebut dibina pada 1890-an semasa pemerintahan Vyner Brooke untuk pekerja-pekerja ladang teh dari India.
“Kuil ini dibina sebagai tempat sembahyang untuk pekerja-pekerja dari India yang bekerja di ladang teh.
“Namun demikian, pada 1912, ia (kuil) mula tidak lagi digunakan apabila ladang teh tidak lagi beroperasi dan semua pekerja meninggalkan ladang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis perasmian kuil tersebut,semalam.
Menurutnya, kuil tersebut kemudiannya dijumpai kembali pada 1968 setelah hilang dari pengetahuan masyarakat Hindu.
Menurut artikel Sarawak Gazzete (30 Jun 1979), masyarakat Bidayuh Matang tahu kedudukan kuil tersebut tetapi mereka tidak tahu bahawa penganut Hindu mencari lokasi kuil tersebut.
Lokasi kuil tersebut dijumpai setelah seorang pemburu berbangsa Bidayuh/Melanau berteduh dari ribut di kuil tersebut pada 1968.
Dia dikatakan membawa balik patung gajah dan dikembalikan pada keesokan harinya atas sebab-sebab tertentu dan peristiwa itu diketahui oleh masyarakat Hindu Matang.
Kuil tersebut kemudiannya dibuka untuk upacara sembahyang pada 4 Disember 1970 dan atas permintaan masyarakat Hindu, ia diambil alih oleh Persatuan Kuil Hindu pada 1976 dan diuruskan oleh sebuah jawatankuasa khas sehingga kini.
Dalam pada itu, semalam, kira-kira 300 penganut agama Hindu dari bandar raya ini mengadakan upacara ‘Maha Kumbbabisegam’ di kuil tersebut bagi memperingati pelopor penanam teh.
Selain itu, upacara tersebut turut bertujuan untuk memperingati Rejimen Punjabi yang pernah berkhidmat di negeri ini suatu masa dahulu.
“Selain mengimbau kenangan sejarah, ia (upacara) juga mengingati sumbangan pasukan keselamatan yang bergelar Rejimen Punjabi.
“Rejimen Punjabi tersebut merupakan sebuah komponen yang merangkumi orang India dan juga orang Eropah dan merupakan sebahagian daripada India,” menurut kenyataan dikeluarkan oleh pihak Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF).
STF turut serta dalam upacara tersebut dalam usaha mempromosikan warisan tinggalan sejarah.
Menurut keyataan itu lagi, rejimen tersebut telah dihantar bertugas ke negeri ini pada awal 1940 di bawah perjanjian British 1888 berikutan pengisytiharan Sarawak sebagai negeri yang berdaulat oleh British pada 13 jun 1888.
“Mereka (rejimen) ditugaskan untuk menjalankan tugas keselamatan strategik dan berkaitan dengan pertahanan Sarawak dan membantu pasukan sukarela untuk bertempur dengan tentera Jepun semasa perang dunia kedua.
“Ramai antara mereka terkorban di kem tahanan di Batu Lintang dari 1942 sehingga 1945,” menurut kenyataan tersebut.
Majlis semalam sangat bertuah kerana turut diserikan dengan kehadiran cucu dan cicit Rajah Brooke iaitu James Lionel Brooke dan Jason Brooke untuk memperingati sejarah kuil tersebut.