Saturday, June 18, 2011

:: SURAT: Persoalan... biasiswa dan ijazah pertama...


Ijazah pertama wajar dibuat dalam negara


2011/06/18


KEBELAKANGAN ini isu pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang hangat diperkatakan. Selaku seorang mahasiswa dan juga antara penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saya terpanggil untuk menyuarakan sedikit pendapat dan pandangan daripada kaca mata saya berkaitan permasalahan ini.

Menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, antara elemen yang diberi perhatian serius ialah pengantarabangsaan di mana pihak kementerian menyasarkan untuk memiliki sekitar 200,000 mahasiswa antarabangsa menuntut di Malaysia.
Menurut maklumat yang dikeluarkan, Malaysia kini menduduki tangga ke-11 dalam pilihan pengajian tinggi dunia dan memiliki sekitar 86,000 mahasiswa antarabangsa yang menuntut di sini. Ini membuktikan kualiti yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia. Oleh itu, saya berasakan kualiti kecemerlangan daripada mahasiswa kita harus diteruskan dan dikembangkan dalam negara terlebih dahulu. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan dan melonjakkan lagi institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
Justeru, saya ingin menyarankan agar pelajar cemerlang menyambung ijazah pertama mereka di dalam negara. Namun, sekiranya mereka mendapat tawaran daripada universiti terkemuka di luar negara seperti Universiti Harvard dan Cambridge serta bidang kepakaran yang tiada di Malaysia barulah mereka dihantar ke luar negara. Saya berpendapat melanjutkan pelajaran di luar negara amat sesuai untuk program sarjana dan doktor falsafah. Dengan kaedah ini, kita dapat mengekalkan pelajar cemerlang dalam negara sekali gus meningkatkan imej dan kualiti IPT tempatan.

Persoalan bagaimana jumlah penerima biasiswa dapat ditingkatkan boleh dirungkai dengan mengekalkan pelajar cemerlang di dalam negara. Seperti yang diketahui, kos menghantar pelajar ke luar negara amat tinggi. Dengan mengehadkan jumlah pelajar, kos yang sedia ada boleh digunakan untuk menampung lebih ramai pelajar di dalam negara.

Penambahan jumlah penerima biasiswa dapat menyokong pembangunan berterusan pelajar cemerlang. Secara tidak langsung dapat menyokong budaya mengejar kecemerlangan yang diterapkan kepada anak-anak seawal tiga tahun melalui prasekolah.
Sekiranya berasakan pelajar cemerlang ini harus diberi pendedahan maka saya menyarankan agar hanya satu atau dua semester saja mereka dihantar ke universiti terkemuka luar negara untuk mengikuti program penukaran pelajar. Ini juga secara tidak langsung tidak membebankan jumlah perbelanjaan yang harus ditampung oleh pihak penaja dan pada masa yang sama mereka juga beroleh pendedahan yang setimpal.

WAN AHMAD HAZMAN WAN DAUD,
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan.