Tuesday, June 24, 2008

:: Sukarkah mendapat calon suami ?


Pangkat tinggi punca susah cari calon suami
Oleh Halina Mohd Noor
BANCIAN Kependudukan dan Perumahan 2000, mendapati semakin ramai wanita di negara ini memilih untuk tidak berkahwin atau melambatkan perkahwinan. Ini dipengaruhi oleh peningkatan tahap pendidikan di kalangan wanita dan gaya hidup yang lebih mementingkan kerjaya berbanding hidup berkeluarga. Seorang wanita bujang yang ditemui berterus terang lebih senang mengambil anak angkat daripada memilih pasangan hidup. Kadar perceraian yang tinggi juga turut menggugat keyakinan wanita terhadap perkahwinan yang mendorong mereka berhati-hati memilih pasangan. Sibuk dengan kerjaya sebagai penyelidik menjadikan Dr Anis Mokhtar,43, tidak sedar dirinya masih belum berteman. Setiap hari, masanya banyak dihabiskan dengan melakukan penyelidikan di makmal atau keluar melawat kilang di luar daerah. Berasal dari Muar, Johor, Dr Anis tidak menafikan timbul juga sedikit rasa tertekan setiap kali ditanya soal jodoh.
Bagaimanapun, perasaan itu semakin menghilang apabila usianya semakin matang. “Soal jodoh bukan ketentuan kita. Rutin kerja yang berbeza dengan waktu pejabat biasa memerlukan saya memilih pasangan yang boleh menerima dan memahami. Bagi saya perkara ini amat penting agar rumah tangga yang dibina aman dan saling memahami,” katanya. Dr Anis menjalankan kajian mengenai penggunaan sisa sawit seperti batang, pelepah dan seratnya yang boleh dijadikan produk berguna seperti papan lapis, perabot dan peralatan rumah. Berkelulusan Sarjana dan Doktor Falsafah, Dr Anis berjaya menghasilkan beberapa produk komersial berasaskan sisa kelapa sawit. Anak sulung dari 10 beradik itu turut bersetuju perbezaan pangkat dan kedudukan adalah antara penghalang wanita berkerjaya hari ini mencari jodoh sesuai.
Ramai lelaki bimbang untuk mendekati wanita berjawatan tinggi sepertinya sedangkan kebanyakan wanita mungkin tidak begitu menekankan soal kedudukan apabila mencari suami.
“Memang benar wanita perlu berhati-hati memilih suami. Mereka perlu selidik dulu. Tidak salah jika wanita berkedudukan tinggi berbanding lelaki asalkan mereka saling memahami antara satu sama lain. Apa yang penting, perlu ada kepercayaan dan kejujuran. “Dalam soal ini, kita perlu berbalik kepada Allah. Masalahnya lelaki terlalu ego untuk menerima wanita berjawatan tinggi daripada mereka. Mereka mungkin takut kena kawal. Itulah sebabnya mereka susah menerima wanita lebih berjaya,” katanya. Beliau berkata, tidak salah wanita berusaha mencari calon suami asalkan ia tidak memberikan kesan buruk kepadanya.
Beliau juga tidak menolak amalan lama seperti mandi bunga yang sering dilakukan di kalangan masyarakat Melayu mungkin membawa kebaikan. “Mandi bunga secara psikologinya dapat menyerikan wajah. Malah dari segi sains, bunga itu sendiri melambangkan kesegaran. Mungkin ia adalah simbolik untuk menaikkan seri wajah dan menarik perhatian orang lain. Namun kita harus ingat, semuanya ini kuasa Tuhan. Ia juga adalah satu usaha baik. Bagaimanapun, saya belum pernah lagi melakukannya walaupun ada yang mencadangkannya,” katanya.

Sekadar suka-suka, beliau mengakui ada juga melayari laman web untuk mencari sahabat seperti yang dilakukan rakan sekerjanya pada waktu lapang. Cara itu berjaya menemukannya dengan seseorang yang dianggap istimewa sejak beberapa tahun lalu. “Mengenali seseorang melalui internet boleh mendedahkan kita dengan bahaya. Itulah sebabnya saya perlu berhati-hati dan hanya yakin untuk bertemu dengannya selepas beberapa bulan berkenalan. Setakat ini kami berkawan rapat dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.