Sunday, June 08, 2008

:: Hadapi Inflasi


Inflasi Akan Meningkat Kepada 4.2 Peratus Tahun Ini, Kata Bank Negara
Inflasi dijangka melepasi 5.0 peratus bulan ini berikutan kenaikan harga bahan api yang diumumkan Rabu, meningkat 4.2 peratus daripada anggaran awal pada 2.5 peratus bagi keseluruhan tahun ini, kata Bank Negara Malaysia. Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini berkata inflasi juga dijangkakan memuncak pada suku pertama 2009 sebelum menyederhana pada suku kedua tahun depan kepada kurang daripada 3.0 peratus. "Bagi separuh pertama 2009, inflasi akan mencecah pada paras 5.3 peratus, dan selepas itu menurun kepada 3.0 peratus. Inilah simulasi awal kami terhadap penyelarasan harga seperti yang ditunjukkan pada asas bulan-ke-bulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia ke-12 di sini.
Beliau berkata kadar inflasi negara secara relatifnya masih rendah berbanding negara lain, dan beliau menggesa Malaysia mengambil kesempatan terhadap situasi semasa dan menyesuaikan dengan keadaan itu. Zeti juga menolak cadangan kemungkinan kadar faedah meningkat, dengan berkata tidak ada keperluan untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa dasar monetari di luar daripada jadual biasanya. -- BERNAMA