Saturday, June 14, 2008

:: Berita baik bagi guru dan pensyarah

23,471 guru, pensyarah dapat kenaikan gred
Oleh Mohd Hamizar Hamid

PUTRAJAYA: Gred bagi 23,471 pegawai di sektor pendidikan membabitkan pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, guru Tingkatan Enam dan guru sekolah menengah yang mempunyai lebih 1,750 murid, dinaikkan, berkuat kuasa 1 Januari lalu. Serentak itu, semua pengetua sekolah menengah Tingkatan Enam dinaikkan daripada gred DG48 kepada DG52 manakala penyelia Tingkatan Enam diberi taraf Penolong Kanan Tingkatan Enam Gred DG48 dan DG44 masing-masing jika sekolah mereka mempunyai 10 kelas atau lebih dan sembilan kelas atau kurang. Kelulusan kerajaan itu juga membabitkan 794 pengetua sekolah Tingkatan Enam bergred DG52 dan 116 pengetua sekolah menengah mempunyai 1,750 murid atau lebih (sekolah enrolmen 1,750) yang kini dikategorikan dalam gred sama.

Berikutan peningkatan gred itu, pelajar Tingkatan Enam akan dijenamakan sebagai mahasiswa dengan guru khusus akan disediakan bagi mengajar mereka, selewat-lewatnya mulai tahun depan. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian akan menyediakan guru khusus memandangkan sebahagian guru terbabit turut mengajar pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima yang akan menduduki peperiksaan besar. "Dengan cara itu kita akan ubah sistem pengajaran melalui kuliah, tutorial dan juga cara yang diamalkan di universiti," katanya pada sidang media khas bagi mengumumkan keputusan kerajaan berhubung perkara itu di Kementerian Pelajaran, di sini semalam.

Turut terbabit dalam kenaikan gred itu ialah 158 Penolong Kanan Tingkatan Enam (untuk 10 kelas dan atas) bergred DG48 dan 636 Penolong Kanan Tingkatan Enam (untuk sembilan kelas ke bawah) bergred DG44 serta 1,039 guru akademik serta kokurikulum bergred DG52, DG48 (3,311) dan DG44 (8,728). Alimuddin berkata, kenaikan gred pensyarah di IAB itu membabitkan sejumlah 757 jawatan iaitu satu untuk kategori DG54, 77 (DG52), 250 (DG48) dan 429 (DG44). Kenaikan gred pensyarah di IPG pula membabitkan 4,772 jawatan iaitu 28 untuk DG54, 584 (DG52), 1,933 (DG48) dan 2,227 (DG44); serta 3,160 jawatan di Kolej Matrikulasi, iaitu 256 untuk DG52, 1,085 (DG48) selain 1,719 (DG44). "Kelulusan terbesar permohonan menerusi Anggaran Belanja Mengurus (Perjawatan) 2008 itu membuka peluang kenaikan pangkat kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPRS) di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
"Urusan pengisian jawatan adalah secara berterusan dan bukan secara sekali saja," katanya Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata pengumuman yang dibuat Kementerian Pelajaran itu tepat pada masanya selaras usaha meningkatkan profesionalisme perguruan. "Kita berharap Penolong Kanan di sekolah menengah biasa yang bergred A dan B turut dinaikkan ke gred DG48 supaya setaraf guru biasa dan penolong kanan di Tingkatan Enam," katanya