Wednesday, June 18, 2008

:: AUKU dipinda?


Pindaan AUKU perlu disegerakan: Khaled
17-06-2008 04:56:41 PM

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pengajian Tinggi berharap Pejabat Peguam Negara menyegerakan proses pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 agar ia tidak dipolitikkan pihak tertentu. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, draf pindaan akta itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dirumus sebelum ia boleh dikemukakan kepada Kabinet. "Kami belum menerima sebarang pindaan atau komen daripada Pejabat Peguam Negara. Bagaimanapun saya harap ia boleh diselesaikan segera. Lagi cepat akta itu dipinda lebih baik kerana ia tidak akan memberi peluang kepada pihak-pihak tertentu untuk mempolitikkan pindaan itu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, malam tadi.
Mohamed Khaled berkata hanya beberapa peruntukan dalam AUKU yang melibatkan penuntut universiti yang perlu dipinda. Pada persidangan Dewan Rakyat Mei lepas, Mohamed Khaled berkata pindaan AUKU bertujuan memberi kebebasan kepada penuntut universiti berikutan kajian awal mendapati beberapa peraturan dalam AUKU menyekat kreativiti pelajar dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kementeriannya telah mengeluarkan arahan kepada semua universiti awam agar merangka langkah terbaik untuk membantu meringankan beban perbelanjaan kerajaan. "Bagaimana menjimatkan kos, semuanya terserah kepada pihak universiti untuk menentu dan melaksanakannya. Kos-kos yang tidak diperlukan akan dipotong untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan," katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled merasmikan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti-Universiti Malaysia ke-33 di Unimas, tuan rumah pada kejohanan ini. Seramai 2,900 peserta daripada 21 pasukan mengambil bahagian pada kejohanan yang bermula dari 15 hingga 22 Jun itu. BERNAMA