Tuesday, June 17, 2008

:: Pasar Gambier... pasar tertua berpindah


Main Page » Utusan Borneo » Tempatan »
Monday, June 16th, 2008

Pasar Gambier lengang, peniaga akhirnya pindah ke Pasar Komuniti Stutong

KUCHING: Suasana di Pasar Gambier kelihatan lengang selepas segala operasi perniagaan di situ dihentikan serta-merta semalam. Semua peniaga telah diarah berpindah ke lokasi perniagaan baru, Pasar Komuniti Stutong di Tabuan Laru, dekat sini.

Tinjauan Utusan Borneo di lokasi semalam mendapati beberapa pekerja merobohkan gerai ditinggalkan para peniaga dengan dikawal serta diawasi oleh pegawai-pegawai dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). Keadaan Jalan Gambier juga kurang sesak jika dibandingkan dengan keadaan sebelum ini, namun aktiviti membeli-belah di kedai-kedai sepanjang jalan itu masih berjalan seperti biasa.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Komuniti Stutong pada hari yang sama mendapati peniaga-peniaga sudah mula berniaga di situ namun masih ada beberapa gerai atau lot perniagaan masih belum beroperasi. Walaupun lokasi itu masih baru namun orang ramai dilihat begitu ghairah mengunjungi pasar baru itu untuk membeli-belah pebagai ke-perluan harian seperti ikan, sayur dan sebagainya. Peniaga-peniaga yang sudah berpindah di Pasar Komuniti Stutong itu adalah peniaga pasar basah seperti peniaga ikan, sayur-sayuran, peniaga runcit dan bermacam-macam jualan hasil hutan.

Pasar Komuniti Stutong menyediakan ruang perniagaan sebanyak 500 gerai bagi menampung jumlah peniaga yang ramai berbanding pasar basah Jalan Gambier yang agak sempit serta kesibukan lalu lintas. Pasar bernilai sekitar RM15 juta itu dibina di atas tanah seluas tujuh ekar dan merupakan yang pertama di Sarawak dilengkapi dengan pelan rawatan sisa buangan berkualiti bagi menjamin kebersihan pasar dan persekitaran.

Isu perpindahan peniaga dari Pasar Gambier ke Pasar Komuniti Stutong bukan suatu yang baru kerana sering ditangguhkan atas beberapa sebab dan ia menjadi kenyataan apabila pasar dua tingkat itu siap sepenuhnya pada April 2007. Biarpun agak jauh dari pusat bandar raya, Pasar Komuniti Stutong dikelilingi kawa-san kediaman dan perumahan yang dilihat mampu menyediakan peluang perniagaan cerah kepada peniaga.

Bulan lalu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman berkata peniaga di Pasar Gambier perlu berpindah ke lokasi baru pada 15 Jun 2008 iaitu semalam sama ada mereka suka atau sebaliknya. Beliau turut memberitahu kerajaan telah berbincang dengan para peniaga terbabit tujuh kali sebelum tamat tempoh perpindahan dikeluarkan pada masa sama memberi tempoh mencukupi untuk mereka berpindah dengan memberi notis sebulan. Menurut beliau, Pasar Gambier akan dirobohkan bagi membolehkan pembinaan Tebingan Kuching dipanjangkan ke Brooke Dockyard bagaimanapun berkata pelan pembangunan selanjutnya di situ belum dapat di-pastikan. Malahan katanya, penutupan Pasar Gambier perlu kerana ia menyumbangkan kepada masalah pencemaran Sungai Sarawak dan bau akibat tiadanya sistem rawatan sisa berkualiti seperti di pasar baru Stutong selain masalah kesesakan teruk di situ.