Thursday, June 26, 2008

:: Minyak jarak dan "egusi melon"... alternatif ?


Seluruh dunia terdesak cari alternatif minyak
25-06-2008 01:15:15 PM

APABILA harga minyak melambung tinggi dan membebankan tanggungan kewangan, ramai mengimpikan bahan api alternatif yang murah. Seluruh pelusuk dunia kini terdesak mencari alternatif minyak yang kosnya rendah dan selamat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak.

Benar, negara ini juga mengeluarkan minyak, namun kenyataan itu tidak menjamin rakyat negara ini untuk terus dilindungi daripada harga pasaran dunia yang tinggi melambung. Rizab minyak Malaysia tidaklah sebanyak mana berbanding negara anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) kerana keperluan rakyat negara ini melebihi had yang ada.

Boleh dikatakan rakyat di setiap pelusuk dunia termasuk Malaysia 'panik' dalam situasi kini yang semakin mendesak dengan ekonomi dunia yang rapuh diikuti bekalan minyak dunia yang berkurangan. Itu belum lagi difikirkan kesan terhadap kenaikan bahan api yang pasti akan menjejaskan sektor pengangkutan awam, harga barang makanan dan secara keseluruhannya kenaikan kos sara hidup akan terus meningkat.

Penyelesaian tangani krisis
Hanya satu penyelesaian yang ada bagi menangani krisis kenaikan harga minyak iaitu mencari alternatif dalam menggantikan bahan api utama dunia itu dengan kadar segera dalam bentuk yang lebih murah dan tidak mencemarkan alam. Tekanan yang ada itu menimbulkan idea dalam melopori penggunaan biodiesel dan sudah pun dimulakan kerajaan hari ini bagaimanapun pembangunan biodiesel dalam negara masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dan disegerakan.

Bahan makanan seperti kelapa sawit, jagung dan soya yang dijadikan minyak pula dikenalpasti antara sumber alternatif yang dikomersialkan sebagai bahan biodiesel baru. Masalah baru pula muncul apabila penggunaan minyak sayuran ini menyebabkan harganya turut meningkat dan seluruh dunia bercanggah terhadap kegunaannya sebagai bahan bakar atau makanan. Di sinilah timbulnya idea bagi para penyelidik untuk terus mencari bahan mentah yang tidak boleh dimakan bagi sumber baru biodiesel mahupun minyak petrol. Biji pokok jarak pagar atau Jatropha Curcas, yang pernah digunakan sebagai bahan bakar untuk pesawat Jepun pada zaman Perang Dunia Kedua adalah antara alternatif yang berpotensi untuk dikomersialkan sebagai bahan biodiesel yang lebih mesra alam.

Penggunaan minyak jarak
Penggunaan minyak jarak sebagai sumber bahan mentah bagi pengeluaran biodiesel negara pada masa depan mungkin baru di negara ini tetapi para penyelidik dari negara lain sudah lama menemui kegunaan pokok itu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bionas Zurina Amnan berkata daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) penggunaan pokok jarak, Malaysia masih baru dan ketinggalan 12 tahun daripada negara lain seperti India dan Thai.
"Biarpun kita masih baru tetapi negara ini mempunyai kelebihan apabila dikurniakan iklim tropika dan tidak mempunyai musim sejuk. Kita boleh menanam pokok ini dan menjadikan projek ini tanaman besar-besaran," katanya.
Beliau berkata negara maju sudah lama mengenal pasti pokok jarak sebagai satu daripada sumber biodiesel tetapi mereka tidak mempunyai sumber tanaman sendiri.
"Di negara luar, penggunaan biodiesel dan biofuel sudah biasa digunakan dan kebanyakan negara maju mengaplikasikan polisi B5 dengan mewajibkan lima peratus biofuel dicampur dengan diesel," katanya.

Zurina berkata Bionas Malaysia kini bergiat aktif menjelajah ke seluruh negara bagi menggalakkan pemilik tanah terutama di kawasan pedalaman supaya melibatkan diri dengan projek tanaman jarak yang menjanjikan pendapatan hasil dan ekonomi masa depan yang cerah. Katanya Bionas memberi jaminan dengan membeli balik buah jarak kepada peserta projek dengan harga RM850 setan metrik biarpun harga di pasaran ialah RM500 bagi satu tan metrik.

Penggunaan biji buah 'egusi melon'
Satu lagi penemuan yang lebih praktikal dan sedang dikaji ialah penggunaan biji buah (kuaci) 'egusi melon' yang banyak ditanam di negara benua Afrika berpotensi menjadi alternatif baru kepada penghasilan minyak petrol dan diesel. Ketua Laboratori Tenaga Boleh Diperbaharui dan Alternatif (AREL) dari Institut Teknologi Maju (ITMA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Ir. Dr. Nor Mariah Adam berkata sejak penemuannya itu pada November lepas, tidak ada lagi syarikat tempatan yang tampil untuk melakukan kerjasama.
"Macam biasa, susah kalau nak harapkan syarikat tempatan untuk bekerjasama dalam mengkaji penemuan baru tetapi saya banyak menerima beberapa tawaran daripada luar negara yang sudi memberikan minyak egusi melon untuk dikaji," katanya.

Beliau yang kini dalam usaha untuk mempatenkan penemuannya itu berkata biarpun egusi melon tidak ditanam di negara ini, tetapi pokok yang berasal dari keluarga tembikai itu sesuai dengan iklim Malaysia dan mudah ditanam di semua jenis tanah.

Zurina pula yang masih dalam proses menguji minyak egusi melon itu ke dalam enjin kenderaan, menjelaskan bahawa saiz karburator kenderaan perlu diubahsuai terlebih dahulu manakala diesel tidak memerlukan transformasi enjin dengan penggunaan minyak egusi melon.
"Sekarang ini saya perlu bertungkus-lumus menyegerakan penyelidikan buah ini kerana harga minyak yang semakin meningkat. Saya harap penemuan ini dapat memberi alternatif terbaik kepada minyak petrol," katanya.
Biarpun kita masih baru tetapi negara ini mempunyai kelebihan apabila dikurniakan iklim tropika dan tidak mempunyai musim sejuk. Kita boleh menanam pokok ini dan menjadikan projek ini tanaman besar-besaran," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut tentang buah egusi melon, Zurina berkata tanaman itu dapat dituai dalam masa tiga bulan sahaja dan hasil tanaman egusi melon sebanyak satu hektar menyamai tuaian kelapa sawit.
"Bagi saya berbanding pokok japutra, egusi melon merupakan pilihan yang lebih baik untuk dijadikan minyak petrol dan diesel kerana sifatnya lebih ringan, proses pemprosesan minyaknya lebih mudah dan ekonomik berbanding minyak sawit dan jotropa," katanya.
Beliau berkata penemuan kali pertama di dunia itu dijangka dapat mengurangkan kos petrol sebanyak 20 peratus dan diesel 10 peratus, malah jurangnya lebih ketara jika harga bahan api itu meningkat.

Egusi melon atau nama saintifiknya `Colocynthis Citrullus Lanatus' merupakan satu daripada 300 spesies keluarga melon yang terdapat di kawasan tropika Afrika dan mempunyai fizikal biji yang sama seperti tembikai dengan saiznya yang kecil dan isinya berwarna kelabu. BERNAMA