Merancang hari-hari persaraan
BARU-baru ini, para penjawat dalam sektor perkhidmatan awam diberi pilihan untuk umur persaraan iaitu sama ada memilih umur 55, 56 atau 58 tahun. Ada yang membuat pilihan yang pertama dan juga pilihan kedua serta tidak kurang juga yang berminat untuk pilihan yang ketiga. Walau bagaimanapun, setiap mereka ada alasan yang tersendiri kenapa berbuat demikian.
Pelbagai faktor diambil kira sebelum membuat keputusan ini. Antaranya ialah faktor kesihatan, keluarga, kerjaya dan keadaan semasa. Dari segi kesihatan, seseorang yang ingin meneruskan perkhidmatannya dengan cemerlang perlu memiliki tahap kecergasan yang tinggi. Ini sudah tentunya menuntut seseorang penjawat tersebut menjaga kesihatannya sejak dari mula lagi.
Bagi yang mengutamakan keluarga pula, mereka memilih untuk bersara awal kerana ingin bersama pasangan atau anak-anak atau cucu. Masa persaraan akan digunakan sebaik mungkin untuk melakukan aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan dengan keluarga tercinta.
Jika semasa perkhidmatan, seorang penjawat awam mungkin banyak menghabiskan masanya bekerja di luar pejabat seperti menghadiri kursus, mesyuarat dan lain-lain. Sehubungan itu masa persaraan adalah masa terbaik untuk menggantikan masa yang terlepas tersebut.
Berlainan pula bagi mereka yang masih bersemangat dan begitu yakin dapat meneruskan usaha untuk mengejar pangkat dan cita-cita. Tambahan masa dua tahun lagi selepas 56 tahun diharapkan dapat dijadikan suatu peluang untuk kenaikan pangkat seperti yang diimpikan selama ini.
Dalam hal ini, seseorang itu perlu melakukan dua perkara utama. Pertama, sentiasa bersyukur dan kedua, selalu berdoa ke hadrat Allah SWT. Kita wajib bersyukur ke hadrat Allah kerana masih lagi memberi peluang untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini.
Jika kita bandingkan diri kita yang masih bernafas ini dengan saudara kita yang telah meninggalkan kita, kita dikira masih bernasib baik. Ini kerana kita masih berpeluang beribadat kepada Allah dengan penuh keikhlasan.
Selagi kita hidup, pintu taubat masih terbuka dan keampunan dan rahmat Allah masih memayungi kita semua. Sehubungan itu, marilah kita berdoa agar kita dianugerahkan umur yang panjang dan sihat tubuh badan untuk memudahkan kita beribadat dengan sempurna dan selesa.
Dalam kesempatan ini, penulis ingin merakamkan ucapan ‘Selamat Bersara’ kepada seorang tokoh dalam bidang pendidikan di negara ini. Beliau adalah Kharuddin Zakaria yang akan memulakan hari persaraannya pada hari ini iaitu 26 Jun. Jawatan terakhir beliau ialah Pengarah Institut Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit. Sebelum itu, beliau adalah guru cemerlang dan pensyarah cemerlang.
Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaya dan pemegang ijazah sarjana dari salah sebuah universiti di Amerika Syarikat mula berkhidmat sejak akhir 70-an. Beliau mula dikenali ramai ketika bertugas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Kolej Islam Klang (kini Kolej Islam Sultan Alam Shah).
Sebagai bekas pelajar Kolej Islam yang mendapat didikan agama yang mendalam, beliau tidak menghadapi banyak masalah berhadapan dengan kerenah pelajar kolej tersebut. Nama beliau begitu sinonim dengan Alumni Kolej Islam (ALKIS). Sebut sahaja Cikgu Kharuddin, atau panggilan mesra di kalangan pelajar (Cikgu Din), maka semua pelajar ketika itu begitu takut dan segan kerana ketegasan beliau menjalankan tugas sebagai warden dan guru disiplin.
Hasil ketegasan beliau, hari ini rata-rata pelajar bekas Kolej Islam kini boleh dikatakan terdiri daripada kalangan orang-orang yang berjaya sama ada dari sudut kerjaya mahupun akhlak. Kini, di hari persaraannya beliau boleh berbangga dengan ramai anak didiknya yang telah menjawat jawatan tinggi dalam politik tanah air, sektor awam, swasta dan usahawan yang berjaya.
Dalam hal ini, penulis sebenarnya banyak memperoleh sesuatu yang berharga daripada didikan beliau. Semasa di Kolej Islam pada tahun 1985 dan 1986, beliau adalah guru penasihat pasukan debat kolej yang mengajar penulis bagaimana berhujah dengan meyakinkan. Di Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban, pada tahun lepas, beliau sebagai pengarah, sempat memberi tunjuk ajar bagaimana menjadi seorang pendidik yang cemerlang.
Lantaran itu tidak hairan jika beliau dianugerahkan sebagai tokoh penyelidik Institut Pendidikan Guru Malaysia pada 2007. Semoga selepas ini, beliau akan terus menabur bakti melalui cara lain yang beliau impikan selama ini.
Sehubungan itu, apabila berbicara berkaitan hari-hari persaraan ataupun hari-hari semasa berkhidmat, mahu tidak mahu ia masih lagi berkisar tentang hari yang tujuh. Setiap insan yang sudah memiliki nama sebenarnya memiliki usia yang sama. Tiada beza usia sesama kita walaupun ada di kalangan kita dikatakan berumur 30, 58, 80 tahun mahupun 100 tahun. Kita semua sebenarnya baru berusia tujuh hari! Mana ada orang yang berusia lebih tujuh hari, melainkan semuanya tujuh hari sahaja iaitu Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.