Wednesday, June 25, 2008

:: Kisah gincu dan kasut bertumit tinggi

Jun 24, 08 6:36pm

Bergincu dan berkasut tumit tinggi sehingga mengeluarkan bunyi tidak dilarang kepada pekerja Islam, jelas Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Etika berpakaian itu hanya sekadar nasihat yang tidak diperkuatkuasakan dalam peraturan di bandar itu, jelas pengarah perhubungan awamnya Azman Mohd Daham hari ini.
Beliau mengulas laporan media hari ini yang menyatakan majlis perbandaran itu mengeluarkan arahan terbaru melarang cara menghias diri dan berpakaian sedemikian. Arahan surat pekeliling bertarikh 25 Mei itu, katanya kepada Bernama, hanya mewajibkan pemakaian tudung kepala dan berpakaian sopan kepada peniaga wanita Islam dan akan dikenakan kompaun sekiranya melanggar arahan itu. Bagaimanapun arahan ini bukanlah baru tetapi sentiasa dikeluarkan sejak 2002. Bersama peraturan itu, dikepilkan risalah etika tambahan, termasuk tidak menggalakkan mereka bergincu atau berkasut tumit tinggi. "Tetapi risalah berkenaan pula adalah sekadar kempen untuk memperjelaskan kepada kaum wanita Muslimah mengenai etika berpakaian sebenar mengikut ketetapan Islam termasuklah larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi," beliau dipetik sebagai berkata. "Bagaimanapun sekiranya mereka melanggar etika itu, MPKB-BRI tiada hak untuk mengambil tindakan. "Pekeliling itu tidak mempunyai kaitan dengan risalah 'MPKB-BRI Cakna Anak Muda' yang memaparkan etika tambahan berpakaian wanita muslimah walaupun ia dikepilkan bersama ketika diedarkan, tambahnya.